Oleh: Muhammad Shahrinnahar Abd Latib
Foto: Mahathir Ali
PEKAN, 23 OKTOBER 2020: Segala tindakan yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan Pahang pimpinan Menteri Besar, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail dalam menangani pandemik COVID-19 di negeri ini sangat berkesan dan harus dipuji.
Mantan Perdana Menteri, YB Dato’ Sri Najib Tun Razak berkata, malah pelbagai bantuan juga sudah diberikan kepada rakyat oleh Kerajaan Pahang dalam membantu rakyat yang terkesan akibat pandemik ini.

“Tindakan dan bantuan yang dilaksanakan Kerajaan Pahang seharusnya dipuji. Setakat ini kes COVID-19 di Pahang masih lagi rendah namun kita semua haruslah berhati-hati dan menjaga SOP yang ditetapkan bagi memastikan pandemik ini dapat dikekang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap selepas menyampaikan sek sumbangan peruntukkan Ahli Parlimen Pekan berjumlah RM50,000 kepada PIBG dan JKKK dalam Dewan Negeri Bebar di Masjid Kampung Pulau Rusa di sini hari ini.
Turut hadir, Ahli Dewan Negeri Pulau Manis, YB. Dato’ Khairuddin Mahmud dan kepimpinan UMNO Pekan.
Ahli Parlimen Pekan itu juga turut meluangkan masa melihat dan memberi sokongan kepada permohonan penduduk termasuk permohonan membaik pulih sekolah tahfiz.

YB Dato’ Sri Najib dalan pada itu turut mendoakan penduduk di Pahang selamat dari wabak penyakit ini, sehingga ia dapat diatasi sepenuhnya.
“Sama-samalah kita semua mengambil serius saranan ini dengan mematuhi segala SOP serta sentiasa menjaga kesihatan dan kebersihan diri,” katanya.
Sebelum ini Kerajaan Pahang mengumumkan 29 inisiatif bantuan dengan nilai keseluruhan sebanyak RM26.4 juta bagi disalurkan kepada rakyat khususnya yang terkesan teruk dengan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)- PAHANGMEDIA