Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim
KUANTAN, 21 OKTOBER 2020: Pertandingan Fotografi dan Videografi yang dianjurkan oleh Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) Negeri Pahang, Tourism Pahang dan Malaysia Association of Western Australia (MAWA) telah mempromosikan secara langsung sektor pelancongan di negeri ini.
Yang Dipertua MPK, YH. Dato’ Hamdan Hussin berkata, pertandingan tersebut diadakan bagi memberi peluang kepada komuniti untuk menyerlahkan bakat untuk mengekspresikan keindahan bandar Kuantan sebagai destinasi pelancongan.
Beliau berkata, sebagai pihak berkuasa tempatan (PBT) yang prihatin terhadap sektor pelancongan setempat, pihaknya bertanggungjawab untuk sama-sama mempromosikan keunikan dan keistimewaan di Kuantan.

“Program ini julung-julung kali diadakan oleh MPK mengadakan pertandingan fotografi sempena Hari Kemerdekaan 2020 dan kita bermatlamatkan Kuantan sebagai bandar pelancongan.
“Berdasarkan penyertaan yang sangat menggalakkan, saya ingin supaya program yang serupa akan diperhebatkan lagi dengan semua komuniti di Kuantan, pihak media dan komuniti fotografi,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas ditemui selepas Majlis Hi-Tea bersama Jurufoto, Blogger dan Media serta Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Fotografi dan Videografi di Kompleks Ibu Pejabat MPK, di sini, hari ini.

Hadir sama ialah Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Hajah Shahaniza Shamsuddin, Pengurus Besar Tourism Pahang, YH. Dato’ Ishak Mokhtar dan Pengarah MOTAC Negeri Pahang, YH. Dato’ Haji Idros Yahya.
Pertandingan bertemakan My Beautiful Kuantan itu berjaya menerima 326 penyertaan meskipun promosi dibuat dalam masa singkat sahaja.
Dalam pada itu, Dato’ Hamdan berharap kerjasama di antara Kuantan dan MAWA akan memacu ke arah pembangunan berkembar di dalam sektor pelancongan di Pahang khususnya di Daerah Kuantan.
MPK juga komited membangunkan dan menaiktaraf kawasan pelancongan di Kuantan seperti pantai, sungai, air terjun dan bukit bagi menggalakkan sektor pelancongan di lokasi tersebut. – PAHANGMEDIA