Oleh: Ain Nadhirah Basha
Foto: Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 20 OKTOBER 2020: Kadar pematuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakkan (PKP) di daerah ini adalah pada tahap 94 peratus dan terkawal secara keseluruhan.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Tuan Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, setakat 27 September lepas juga, pihak polis bersama Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) telah mengeluarkan hampir 700 kompaun.
“Pemeriksaan individu dan premis keseluruhan bermula dari Fasa Ketujuh PKP adalah 11,880. Kita telah memberi nasihat dan amaran sebanyak hampir 7,000,” katanya dalam operasi Pematuhan Pemantauan COVID-19 di Pasar Ikan Sejahtera di Beserah di sini hari ini.

Beliau berkata, bagi daerah Kuantan seramai 64 orang individu dibawah pemerhatian (PUI) direkodkan menjalankan kuarantin di kediaman masing-masing di daerah ini setakat hari ini.
“Kesemua PUI ini adalah melibatkan orang awam dan setakat ini kesemua mereka sangat berdisiplin, patuh kepada arahan kuarantin,” katanya.
Tambah beliau lagi, terdapat tiga anggota polis turut menjalani kuarantin sejak enam hari lepas di daerah ini melibatkan dua pegawai berpangkat inspektor dan seorang lagi berpangkat koperal.

“Dua inspektor ini dikuarantin setelah menghadiri kursus di mana penceramah telah diuji positif COVID-19.
“Koperal ini pula baru pulang daripada Sabah dan telah menjalani kurantin wajib di PULAPOL selama dua minggu namun menunjukkan simptom setelah pulang dari kuarantin dan kesemua mereka sedang menunggu keputusan ujian.
“Kita ingin menegaskan walaupun pihak polis diarahkan untuk menjalani kuarantin, mereka juga mesti patuh kepada arahan kuarantin ini dan tidak dikecualikan,” katanya. – PAHANGMEDIA