Oleh: Syafiqah Jamaluddin
KUANTAN, 20 NOVEMBER 2026 : Pelaburan bernilai RM18.04 bilion yang direkodkan di Pahang sepanjang 2025 berjaya menjana lebih 11,000 peluang pekerjaan, khususnya dalam sektor teknikal, separa mahir dan mahir yang membuka ruang kepada lepasan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) menyertai pasaran kerja.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Pahang, YB Tuan Sim Chon Siang berkata, Kerajaan Negeri memberi penekanan supaya pelaburan yang dibawa masuk turut menyediakan peluang pekerjaan kepada anak tempatan, termasuk golongan muda yang tidak melanjutkan pengajian ke universiti.
Menurut beliau, usaha itu dilaksanakan dengan menggalakkan pelabur mengutamakan pengambilan pekerja tempatan serta memperkukuh kerjasama antara pihak industri dengan institusi latihan kemahiran.
“Kerajaan Negeri turut menggalakkan pelabur mengutamakan pengambilan pekerja tempatan serta menjalinkan kerjasama latihan dengan institusi TVET seperti Pahang Skills, Kolej Universiti Yayasan Pahang dan POLISAS bagi memastikan tenaga kerja yang dilatih dapat terus diserap ke dalam industri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Manis, YB Tuan Mohamad Rafiq Khan Ahmad Khan pada Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata pembangunan Pahang Aerospace City turut dijangka membuka antara 12,000 hingga 15,000 peluang pekerjaan apabila dibangunkan sepenuhnya, khususnya dalam bidang pembuatan, penyelenggaraan, logistik dan perkhidmatan teknikal.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan data Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) menerusi portal MYFutureJobs merekodkan sebanyak 55,209 kekosongan pekerjaan di Pahang bagi tempoh Januari hingga 9 Oktober 2026.
Katanya, seramai 12,422 pencari kerja berusia antara 15 hingga 30 tahun direkodkan dalam tempoh berkenaan, dengan 2,852 orang atau 22.96 peratus berjaya memperoleh penempatan pekerjaan.
Bagi memperluas peluang pekerjaan, PERKESO turut melaksanakan sebanyak 455 program karnival kerjaya termasuk sesi temu duga harian dan mingguan di seluruh Pahang bagi tempoh Januari hingga 2 Oktober 2026.
Menurut beliau, pelaksanaan program berkenaan berjaya membantu 1,244 pencari kerja memperoleh pekerjaan, manakala 643 lagi layak meneruskan proses temu duga ke peringkat seterusnya.
Selain itu, penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) menerusi portal MYFutureJobs turut diperkasakan bagi membantu memadankan pencari kerja dengan kekosongan jawatan berdasarkan kelayakan dan kemahiran mereka.
Beliau berkata, PERKESO juga menyediakan pembiayaan latihan peningkatan kemahiran dan latihan semula menerusi LINDUNG Kerjaya sehingga RM7,000 berkuat kuasa 1 Oktober 2026.
“Kemudahan itu turut merangkumi elaun latihan RM30 sehari serta elaun mobiliti RM1,000 secara sekali bayar kepada pencarum yang menerima pekerjaan baharu melebihi jarak 100 kilometer dari kediaman,” katanya.
Menurut beliau, kemudahan berkenaan bertujuan membantu meningkatkan kebolehpasaran tenaga kerja tempatan serta memudahkan pencari kerja mendapatkan peluang pekerjaan yang bersesuaian dengan kemahiran dan kelayakan masing-masing. – PAHANGMEDIA

