Oleh: Syafiqah Jamaluddin
KUANTAN, 20 NOVEMBER 2026 : Seramai 150 pasangan muda di Pahang menerima manfaat menerusi Program Anggun Suri sepanjang tahun ini, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan penerima meningkat kepada 265 pasangan sejak inisiatif berkenaan diperkenalkan.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB Dato’ Hajah Sabariah Saidan berkata, program yang dilaksanakan menerusi Unit Pembangunan Wanita dan Sosial Negeri Pahang (UPWS) itu bertujuan membantu pasangan muda mendirikan rumah tangga dengan mengurangkan beban kos perkahwinan.
Menurut beliau, penganjuran majlis perkahwinan secara beramai-ramai menerusi program berkenaan membolehkan pasangan yang memenuhi syarat melangsungkan perkahwinan dengan lebih teratur dan menjimatkan.
“Program ini turut memberi peluang kepada pasangan yang memenuhi syarat untuk melangsungkan perkahwinan secara beramai-ramai dalam suasana lebih teratur dan menjimatkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Talam, YB Dato’ Haji Abd Aziz Haji Mat Kiram pada Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata pelaksanaan Program Anggun Suri sepanjang 2026 melibatkan pasangan muda dari beberapa kawasan Parlimen di Pahang dengan penganjurannya diadakan secara berperingkat.
Katanya, antara manfaat yang disediakan termasuk bantuan pengurusan majlis perkahwinan serta kemudahan bagi mengurangkan perbelanjaan pasangan yang baharu mendirikan rumah tangga.
Menurut beliau, inisiatif itu bukan sahaja membantu pasangan menjimatkan kos majlis perkahwinan, malah membolehkan mereka memberikan lebih tumpuan kepada keperluan selepas berkahwin.
Program Anggun Suri merupakan antara usaha Kerajaan Negeri dalam memperkukuh institusi kekeluargaan melalui sokongan kepada pasangan muda bagi membantu mereka membina kehidupan berkeluarga yang lebih stabil dan sejahtera. – PAHANGMEDIA

