Oleh: Aimi Syafiqa Khairi
KUANTAN, 20 NOVEMBER 2026 : Pahang merekodkan sebanyak 16.6 juta kedatangan pelancong bagi tempoh Januari hingga September tahun ini, sekali gus melepasi sasaran tahunan 15.5 juta pelancong yang ditetapkan bagi 2026.
Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang, YB Puan Leong Yu Man berkata, pencapaian itu menunjukkan perkembangan positif industri pelancongan negeri berbanding 11.47 juta kedatangan pelancong yang direkodkan bagi tempoh sama tahun lalu.
Menurut beliau, peningkatan berkenaan mencerminkan usaha berterusan Kerajaan Negeri dalam mempergiat promosi serta memperkukuh pembangunan produk pelancongan bagi menarik lebih ramai pengunjung ke Pahang.
“Berdasarkan statistik Tourism Pahang, Negeri Pahang telah merekodkan 16.6 juta kedatangan pelancong bagi tempoh Januari hingga September 2026, berbanding 11.47 juta bagi tempoh yang sama pada tahun 2025, iaitu peningkatan sebanyak 31.13 peratus.
“Pencapaian ini melebihi sasaran 15.5 juta pelancong bagi tahun 2026. Kerajaan Negeri juga akan terus mempergiat usaha bagi merealisasikan aspirasi YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail untuk mencapai 17 juta pelancong,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Damak, YB Tuan Su Keong Siong pada Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata sektor ekopelancongan turut menunjukkan perkembangan memberangsangkan apabila beberapa destinasi utama mencatatkan peningkatan kedatangan pelancong bagi tempoh Januari hingga September 2026 berbanding tempoh sama tahun lalu.
Katanya, Janda Baik merekodkan peningkatan tertinggi sebanyak 81.06 peratus, diikuti Bukit Fraser (50.48 peratus), Jerantut (30.68 peratus) dan Cameron Highlands (2.14 peratus).
Menurut beliau, peningkatan kedatangan pelancong ke destinasi berkenaan turut memperlihatkan potensi sektor ekopelancongan sebagai antara tarikan utama yang menyumbang kepada perkembangan industri pelancongan Pahang.
Kerajaan Negeri akan terus mempergiat usaha promosi dan pembangunan produk pelancongan bagi mengekalkan momentum kedatangan pengunjung serta mencapai aspirasi 17 juta pelancong pada tahun ini. – PAHANGMEDIA

