Oleh : Syafiqah Jamaluddin
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 20 NOVEMBER 2026 : Hospital Kuala Lipis memerlukan sekurang-kurangnya dua Pegawai Kerja Sosial Perubatan (PKSP) bagi menampung purata 445 kes setahun, sekali gus memastikan urusan bantuan dan sokongan kepada pesakit dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB Dato’ Ir. Razali Kassim berkata, keperluan itu berdasarkan norma perjawatan yang menetapkan seorang PKSP bagi setiap 200 kes setahun.
Menurut beliau, ketika ini hanya seorang PKSP ditempatkan di Hospital Kuala Lipis, sekali gus menyebabkan beban tugas yang tinggi berbanding jumlah kes yang dikendalikan.
“Berdasarkan jumlah kes yang dikendalikan, keperluan perjawatan di Hospital Kuala Lipis adalah sekurang-kurangnya dua orang PKSP untuk memastikan perkhidmatan dapat berfungsi dengan lebih optimum,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Inderapura, YB Dato’ Sri Haji Shafik Fauzan pada Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-5 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata terdapat 23 perjawatan PKSP di seluruh Pahang dengan 17 ditempatkan di hospital Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), manakala enam lagi di Klinik Kesihatan.
Katanya, bagi Hospital Kluster Pahang Barat yang merangkumi Hospital Kuala Lipis, Hospital Raub dan Hospital Sultanah Hajjah Kalsom (HoSHKa) Cameron Highlands, hanya dua PKSP ditempatkan, masing-masing seorang di Hospital Kuala Lipis dan Hospital Raub.
Sehubungan itu, Jabatan Kesihatan Negeri Pahang akan melaksanakan langkah penyelesaian jangka pendek dengan mendapatkan khidmat sokongan dua PKSP dari Hospital Jerantut dan Hospital Raub selama dua hari seminggu bermula 2027.
Menurut beliau, langkah tersebut bertujuan melancarkan pengurusan kes serta mengurangkan beban tugas pegawai sedia ada tanpa menjejaskan perkhidmatan di kedua-dua hospital berkenaan.
“Bagi penyelesaian jangka panjang, cadangan penambahan perjawatan PKSP secara tetap di Hospital Kuala Lipis telah dikemukakan kepada Ketua Profesion Pegawai Kerja Sosial Perubatan di Ibu Pejabat KKM,” katanya.
Selain itu, usaha mengisi kekosongan perjawatan PKSP di Klinik Kesihatan Tanah Rata, Cameron Highlands turut dilaksanakan bagi mengurangkan kebergantungan terhadap pegawai di Hospital Kuala Lipis.
Beliau berkata, perkhidmatan PKSP memainkan peranan penting dalam membantu pesakit melalui penilaian biopsikososial, penyelarasan bantuan dengan agensi berkaitan serta pemberian bantuan praktikal dan terapi sokongan.
Antara bantuan yang diselaraskan termasuk e-Bayt Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), Tabung Bantuan Perubatan serta Majlis Kanser Nasional (MAKNA) bagi membantu pesakit yang memerlukan sokongan sepanjang proses rawatan. -PAHANGMEDIA

