Oleh : Aimi Syafiqa Khairi
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 20 NOVEMBER 2026 : Liputan rangkaian 4G di kawasan berpenduduk di Pahang kini mencapai 99.89 peratus sehingga suku ketiga tahun ini, meningkat berbanding 89.10 peratus pada tempoh sama tahun 2020 hasil pelaksanaan Projek Jalinan Digital Negara (JENDELA).
Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB Dato’ Fadzli Mohamad Kamal berkata, peningkatan sebanyak 10.79 mata peratusan itu mencerminkan kemajuan pembangunan infrastruktur telekomunikasi dalam memperluas akses internet kepada rakyat.
Menurut beliau, bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Damak, liputan internet mudah alih di kawasan berpenduduk turut mencatatkan pencapaian 99.92 peratus dalam tempoh sama.
Katanya, sebanyak 20 struktur pemancar baharu telah dibina, manakala 91 stesen pemancar dinaik taraf dan kini beroperasi bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan telekomunikasi di kawasan berkenaan.
“Bagi menyokong liputan dan meningkatkan kualiti perkhidmatan telekomunikasi di DUN Damak, sebanyak 20 struktur pemancar baharu dan 91 stesen pemancar yang dinaik taraf telah siap dilaksanakan dan beroperasi.
“Selain itu, sebanyak 9,385 premis telah disediakan dengan perkhidmatan internet jalur lebar tetap,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Damak, YB Tuan Haji Zuridan Mohd Daud pada Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-5 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, di sini, hari ini.
Mengulas mengenai pembangunan rangkaian 5G pula, beliau berkata sebanyak tiga infrastruktur pemancar milik Digital Nasional Berhad (DNB) dan enam milik U Mobile telah beroperasi di DUN Damak.
Menurutnya, satu lagi infrastruktur pemancar milik U Mobile masih dalam proses pelaksanaan bagi memperkukuh liputan rangkaian generasi kelima di kawasan tersebut.
Dalam pada itu, beliau berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) turut merancang pelaksanaan JENDELA Fasa 2 bagi meningkatkan prestasi rangkaian, memperluas akses internet serta menambah baik liputan perkhidmatan komunikasi di seluruh negeri.
Katanya, perincian pelaksanaan projek berkenaan kini sedang dibuat di peringkat Kementerian Komunikasi dengan Kerajaan Negeri turut menekankan kepentingan penyelarasan pembangunan infrastruktur telekomunikasi berdasarkan keperluan setempat.
“Kita mahu pembinaan menara telekomunikasi atau struktur pemancar dan sebagainya di negeri Pahang mendapat maklum balas serta persetujuan Kerajaan Negeri sendiri berdasarkan keperluan semasa,” katanya.
Beliau berkata, Kerajaan Negeri telah meminta supaya perbincangan lanjut diadakan bagi memastikan setiap cadangan pembangunan infrastruktur telekomunikasi mengambil kira keperluan serta pandangan negeri. -PAHANGMEDIA

