KUANTAN, 15 NOVEMBER 2026 : Penganjuran East Coast Half Marathon 2026 berjaya menarik penyertaan seramai 2,600 peserta tempatan dan antarabangsa termasuk dari tujuh buah negara, sekali gus memperkukuh potensi Pahang sebagai destinasi pelancongan sukan bertaraf antarabangsa.
Acara yang berlangsung di Kuantan hari ini turut menyaksikan penyertaan peserta antarabangsa dari China, Jerman, India, Kenya, Filipina, Singapura dan United Kingdom.
Pengurus Besar Tourism Pahang, Puan Nor Zahira binti Muhammad Azmi berkata, sambutan menggalakkan itu membuktikan acara sukan larian berpotensi menjadi platform penting dalam menarik lebih ramai pelancong domestik dan antarabangsa ke negeri ini.
“Tourism Pahang melihat penganjuran East Coast Half Marathon 2026 sebagai satu platform penting dalam memperkukuh segmen pelancongan sukan di Negeri Pahang.
“Penyertaan seramai 2,600 peserta termasuk dari tujuh buah negara membuktikan bahawa acara seumpama ini mempunyai potensi untuk menarik lebih ramai pengunjung domestik dan antarabangsa ke Pahang.
“Kita berharap penganjuran acara ini dapat diteruskan pada masa hadapan serta memberi limpahan manfaat kepada pemain industri pelancongan dan komuniti setempat,” katanya.
Beliau berkata demikian sempena East Coast Half Marathon 2026 yang turut menyaksikan beliau menyempurnakan majlis pelepasan peserta di Kuantan, hari ini.
Daripada keseluruhan 2,600 peserta berdaftar, seramai 1,600 peserta mengambil bahagian dalam kategori Half Marathon, diikuti 560 peserta bagi kategori 10 kilometer (10KM), manakala 440 peserta lagi menyertai kategori Fun Run 5KM dan 1.5KM.
Penganjuran acara berkenaan bukan sahaja menggalakkan gaya hidup sihat dan aktiviti kecergasan, malah berpotensi memberikan limpahan ekonomi kepada masyarakat setempat menerusi sektor penginapan, makanan dan minuman, pengangkutan serta perniagaan tempatan.
Pada masa sama, acara berasaskan sukan dan rekreasi itu turut menjadi medium mempromosikan keunikan Kuantan sebagai destinasi pelancongan yang aktif, dinamik dan mesra pengunjung.
Tourism Pahang akan terus menyokong pembangunan pelancongan sukan sebagai antara pendekatan menarik lebih ramai pengunjung ke negeri ini, selaras dengan aspirasi memperkukuh promosi pelancongan sempena kempen Visit Malaysia 2026 – 2027 – Pahang First.- PAHANG MEDIA

