Oleh: Nur Saadah Artika
Foto: Farizul Hafiz Awang
TEMERLOH, 15 NOVEMBER 2026 : Program Desa-Q Sihat terus diperkasa bagi meningkatkan kesedaran masyarakat khususnya warga emas di kawasan FELDA mengenai kepentingan pengambilan ubat secara betul bagi memastikan keberkesanan rawatan serta penjagaan kesihatan yang lebih baik.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB Dato’ Ir. Razali Kassim berkata, pemilihan FELDA Bukit Damar sebagai lokasi pelaksanaan program berkenaan amat bertepatan memandangkan majoriti penerokanya kini terdiri daripada golongan warga emas.
Menurut beliau, FELDA Bukit Damar yang hampir mencecah usia 48 tahun mempunyai ramai peneroka berusia antara 60 hingga 70 tahun ke atas yang perlu diberikan pendedahan mengenai kaedah pengambilan ubat secara betul.

“Program ini sebenarnya kita nak menyedarkan dan memberi kesedaran kepada masyarakat tentang penggunaan ubat yang betul kerana kadang-kadang, terutama warga emas, mereka tersilap cara makan atau mengambil ubat pada masa yang tidak betul.
“Apabila ubat diambil dengan cara yang tidak betul, ubat yang baik macam mana sekalipun tidak akan berkesan. Sebab itulah kita mahu masyarakat memahami kaedah penggunaan ubat yang betul di rumah.
“Bukit Damar ini hampir 48 tahun dan kebanyakan peneroka kini berusia 60 hingga 70 tahun ke atas. Sebab itu kita fokuskan program ini di kawasan FELDA,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Pelancaran Desa-Q Sihat Peringkat Negeri Pahang 2026 di Dewan Semai Bakti, FELDA Bukit Damar, di sini, hari ini.
Turut hadir Pengarah Kesihatan Negeri Pahang, YBrs. Dr. Haji Saiful Azlan Haji Sharif; Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Lanchang, YH Dato’ Ridzuan Hazimin Ramli serta barisan ketua-ketua jabatan.
Dalam pada itu, beliau berkata, Kerajaan Negeri Pahang memperuntukkan sebanyak RM90,000 bagi memperluaskan pelaksanaan program Desa-Q Sihat kepada tiga daerah tahun ini, berbanding hanya satu daerah setahun sebelum ini.
Menurutnya, peruntukan sebanyak RM30,000 bagi setiap daerah itu melibatkan Rompin, Temerloh dan Lipis sebagai usaha memastikan lebih ramai masyarakat mendapat manfaat daripada program kesedaran kesihatan berkenaan.

“Pada tahun ini kita sepatutnya melaksanakan program di tiga daerah iaitu Rompin, Temerloh dan selepas ini di Lipis, berbanding sebelum ini hanya satu daerah dalam satu tahun.
“YAB Menteri Besar amat prihatin terhadap kesihatan rakyat, sebab itu pada tahun ini beliau meminta supaya program ini diperluaskan kepada tiga daerah,” katanya.
Beliau berkata, Desa-Q Sihat merupakan inisiatif Bahagian Perkhidmatan Farmasi, Jabatan Kesihatan Negeri Pahang menerusi Inisiatif Kampung Angkat dengan FELDA Bukit Damar menjadi lokasi keempat pelaksanaannya.

“Kerajaan Negeri memperuntukkan RM90,000 bagi program ini tahun ini, iaitu RM30,000 untuk setiap daripada tiga daerah yang terlibat.
“Insya-Allah, kita harap tahun depan Kerajaan Negeri dapat memberi jumlah yang sama atau lebih daripada itu,” katanya.
Sementara itu, lebih 400 penduduk turut menyertai Program Sarong Walk sejauh tiga kilometer di sekitar FELDA Bukit Damar sebagai antara pengisian program bagi menggalakkan amalan gaya hidup sihat dalam kalangan komuniti setempat. -PAHANGMEDIA

