Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
CAMERON HIGHLANDS, 14 NOVEMBER 2026 : Lebih 5,000 pengunjung memeriahkan Karnival Aspirasi Pahang 1st Tahun 2026 Peringkat Daerah Cameron Highlands yang berlangsung selama tiga hari.
YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, karnival berkenaan bukan sekadar platform hiburan dan riadah, malah menjadi medium kerajaan negeri mendekati rakyat serta menyampaikan maklumat berkaitan dasar dan inisiatif kerajaan.

“Penganjuran karnival ini bukan sekadar untuk mengadakan aktiviti riadah dan hiburan. tetapi adalah merupakan platform kerja negeri untuk menyampaikan maklumat, dasar, serta pelbagai inisiatif kerajaan secara lebih dekat kepada rakyat.
“Kita mahu rakyat mengetahui usaha yang sudah dilaksanakan oleh kerajaan serta manfaat yang boleh mereka perolehi daripada pelbagai kemudahan dan inisiatif yang disediakan.
“Sebenarnya program ni membuka ruang keada rakyat untuk berinteraksi secara langsung dengan kepimpinan kerajaan negeri dalam suasana yang lebih santai dan mesra. Inilah pendekatan yang kita mahu iaitu kerajaan yang sentiasa dekat dengan rakyat, mendengar keperluan mereka dan berusaha memberikan penyelesaian yang terbaik dalam kita melaksanakan pelbagai agenda pembangunan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Karnival Aspirasi Pahang 1st Tahun 2026 Peringkat Daerah Cameron Highlands di Padang Awam Majlis Daerah Cameron Highlands, Tanah Rata.
Menurut beliau, edisi ketujuh karnival ini turut digabungkan dengan Karnival Usahawan Pahang 1st bagi membantu peniaga tempatan memperkenalkan produk, meluaskan pasaran dan meningkatkan pendapatan.
“Dan yang menarik juga program ini turut digabungkan dengan Cameron Mist Run sejauh 5 km. Saya sangat menyambut baik penganjuran aktiviti seperti ini kerana ia bukan saja menggalakkan masyarakat mengamalkan gaya hidup sihat malah memberi peluang kepada kita untuk beriadah dan berinteraksi dalam suasana yang lebih santai.
“Saya juga berharap agar golongan belia di Cameron Highlands akan terus aktif melibatkan diri dalam program kemasyarakatan, kesukarelawan, dan pembangunan negeri. Anak muda bukan sekadar pewaris masa depan tetapi merupakan rakan penting kerajaan dalam membangunkan Pahang,” katanya.
Tambah beliau, potensi Cameron Highlands dalam sektor pelancongan dan pertanian perlu terus dimanfaatkan bagi merancakkan ekonomi penduduk setempat, seiring usaha memelihara kelestarian alam sekitar.
Beliau berharap karnival itu memberikan manfaat kepada rakyat, memperkasa usahawan tempatan serta mengeratkan hubungan antara kerajaan negeri dengan masyarakat. -PAHANGMEDIA

