KUANTAN, 12 NOVEMBER 2026 : Naib Presiden UMNO, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail menggesa Majlis Peguam dan bekas Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua supaya menghormati keputusan Yang di-Pertuan Agong dan Lembaga Pengampunan berhubung pelaksanaan baki hukuman penjara Dato’ Sri Najib Tun Razak menerusi kaedah tahanan di rumah.
Beliau berkata, permohonan pengampunan merupakan hak yang diperuntukkan kepada setiap individu yang sedang menjalani hukuman dan dalam hal ini, permohonan Dato’ Sri Najib telah melalui proses serta pertimbangan pihak berautoriti, termasuk Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Agong.
Justeru, katanya, keputusan yang dibuat melalui saluran perlembagaan serta mendapat perkenan diraja sewajarnya dihormati oleh semua pihak.
Dalam pada itu, beliau melahirkan rasa kesal terhadap tindakan Majlis Peguam yang memfailkan permohonan semakan kehakiman bagi mencabar prosiding dan keputusan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan berkaitan pelaksanaan tahanan di rumah berkenaan.
Beliau turut membidas hantaran Tony Pua di media sosial yang disifatkan memperlekehkan keputusan Lembaga Pengampunan serta menyentuh kedudukan Yang di-Pertuan Agong.
Sehubungan itu, beliau menggesa pihak berkuasa supaya menyiasat hantaran berkenaan secara menyeluruh dan mengambil tindakan sewajarnya sekiranya didapati berlaku pelanggaran undang-undang.
Menurutnya, institusi Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu mempunyai kedudukan serta peranan yang jelas di bawah Perlembagaan Persekutuan, justeru kebebasan bersuara tidak boleh dijadikan alasan untuk memperlekehkan institusi diraja atau memainkan sentimen 3R sehingga menjejaskan keharmonian negara.
Beliau menegaskan semua pihak perlu menghormati prerogatif diraja, memelihara kemuliaan institusi Raja-Raja Melayu serta mempertahankan keluhuran perlembagaan. – PAHANGMEDIA

