Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Farizul Hafiz Awang
LIPIS, 12 NOVEMBER 2026 : Jajaran Lingkaran Tengah Utama (LTU) Seksyen 3J dari Kampung Seberang Jelai ke Kampung Relong sepanjang 6.95 kilometer akan dibuka kepada orang ramai mulai pukul 11.30 pagi esok.
Pembukaan laluan itu disempurnakan oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail bersama-sama Menteri Kerja Raya, YB Dato’ Sri Alexander Nanta Linggi di laluan berkenaan hari ini.
YAB Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy berkata, pembukaan laluan itu bakal memendekkan masa perjalanan serta memudahkan pergerakan penduduk setempat, khususnya mereka yang berulang-alik ke Kelantan dan Kuala Lumpur.
“Jalan Seksyen 3J dari Seberang Jelai ke Relong ini dapat memendekkan perjalanan dan memudahkan penduduk sekitar untuk ke Kelantan, Kuala Lumpur serta destinasi lain.

“Kita hanya mempunyai satu pakej lagi yang dijangka siap pada tahun hadapan iaitu Seksyen 4B Jerkoh-Benta. Terdapat sedikit masalah teknikal, namun insya-Allah ia dapat diselesaikan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang media selepas majlis pembukaan laluan berkenaan.
Menurut beliau, laluan yang siap sepenuhnya itu telah menerima Perakuan Siap Kerja (CPC) pada 22 September lalu dan dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 3,000 penduduk sekitar.
“Bagi pihak Kerajaan Negeri, saya ingin merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan, khususnya rakan saya, YB Menteri Kerja Raya yang begitu serius memantau pelaksanaan projek ini bagi memastikan ia dapat disiapkan mengikut jadual ditetapkan.

“Projek ini pastinya memberi manfaat kepada kira-kira 3,000 penduduk di kawasan sekitar,” katanya.
Projek bernilai RM339.7 juta yang dilaksanakan oleh Menang Idaman Sdn. Bhd. itu merangkumi pembinaan jalan berkembar empat lorong mengikut piawaian JKR R5, lima jambatan, dua Vehicular Box Culverts (VBC), pemasangan lampu jalan serta kerja-kerja pengalihan utiliti.
Sementara itu, YB Dato’ Sri Alexander berkata, kemudahan kawasan Rehat dan Rawat (R&R) di sepanjang laluan berkenaan telah dikenal pasti dalam perancangan dan pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan Kerajaan Negeri berhubung kaedah pelaksanaan serta pengoperasiannya.
“Lokasinya sudah dikenal pasti dan tidak jauh dari sini. Saya juga ingin merakamkan penghargaan kepada YAB Menteri Besar dan Kerajaan Negeri kerana sementara menunggu kemudahan R&R sepenuhnya disediakan, Kerajaan Negeri telah mengambil inisiatif menyediakan kemudahan sementara,” katanya.

Pembukaan Seksyen 3J merupakan satu lagi pencapaian penting dalam pelaksanaan projek LTU sepanjang 299.4 kilometer yang menghubungkan Kuala Krai, Kelantan hingga ke Persimpangan Lebuhraya Pantai Timur (LPT) di Pahang, dengan kos keseluruhan RM7.7 bilion.
Dengan pembukaan Seksyen 3J serta sebahagian jajaran Seksyen 4A, jumlah keseluruhan laluan LTU yang boleh digunakan orang ramai di Pahang kini meningkat kepada 115.6 kilometer, sekali gus meningkatkan keselesaan dan keselamatan perjalanan serta merangsang pembangunan sosioekonomi setempat.
Majlis turut dihadiri YB Speaker Dewan Negeri Pahang, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsuddin; Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Ir. Haji Mohd. Soffi Tan Sri Abd. Razak; Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB Dato’ Ir. Razali Kassim; Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air merangkap Ahli Parlimen Lipis, YB Dato’ Sri Haji Abdul Rahman Haji Mohamad; ketua-ketua jabatan serta pimpinan setempat. -PAHANGMEDIA

