Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Farizul Hafiz Awang
RAUB, 11 NOVEMBER 2026 : Pahang menyasarkan untuk muncul sebagai pengeksport telur terbesar negara menerusi peluasan operasi pengeluaran telur oleh QL Eco Farm di negeri ini bagi memenuhi permintaan pasaran domestik dan antarabangsa yang semakin meningkat.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, peluasan operasi syarikat berkenaan di Lanchang dan Jelai akan membuka peluang kepada negeri ini untuk mengembangkan pasaran eksport telur ke luar negara.
Katanya, Kerajaan Negeri akan memberi keutamaan melalui pendekatan ‘fast track’ bagi mempercepatkan urusan permohonan peluasan operasi syarikat berkenaan di Lanchang dan Jelai.
“Dan saya difahamkan mereka ingin membesarkan lagi di Lanchang dan juga di Jelai, dan Kerajaan Negeri akan memberi keutamaan ‘fast track’ supaya ianya dapat diuruskan dengan kadar segera.

“Sebab ini adalah peluang yang saya rasa sangat bagus, tidak ada di negeri lain, kalau boleh kita nak jadi Pahang ini pengeksport tunggal telur yang terbesar,” katanya ketika mengadakan lawatan ke QL Eco Farm, Sungai Klau sempena Jelajah Aspirasi Pahang 1st Dewan Undangan Negeri (DUN) Dong, di sini hari ini.
Turut hadir, YB Pegawai Kewangan Negeri Pahang, Dato’ Indera Haji Fadzilla Haji Salleh; Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB Dato’ Fadzli Mohamad Kamal; Pegawai Daerah Raub, YH Dato’ Mohd Khuzaidi Harun serta barisan ketua jabatan dan pimpinan setempat.
YAB Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy juga berkata, ketika ini pengeluaran telur di QL Eco Farm, Sungai Klau hanya memenuhi keperluan pasaran tempatan berikutan permintaan yang terlalu tinggi sehingga belum mencukupi untuk dieksport.

“Sekarang ni hanya untuk ‘local consumption’ sahaja. Mungkin apabila adannya di Lanchang dan di Jelai nanti boleh dieksport ke luar negara kerana ‘demand’ terlampau tinggi, masih belum mencukupi untuk dieksport keluar negara.
“Saya dah bagi tahu kepada rakan-rakan tadi yang terlibat supaya diberi keutamaan apabila permohonan dimasukkan kepada Kerajaan Negeri, saya sendiri akan pantau nanti insyaAllah,” ujarnya.
Tambahnya, projek yang telah beroperasi sejak lima tahun lalu itu mendapat permintaan tinggi dengan penghasilan kira-kira 650,000 biji telur sehari selain menyediakan peluang pekerjaan kepada kira-kira 300 anak tempatan.

Dalam perkembangan berkaitan, peruntukan sebanyak RM1,788,030 bagi kerja-kerja membaik pulih dan menaik taraf jalan masuk ke QL Eco Farm sepanjang 2.6 kilometer dengan lebar tiga meter menerusi peruntukan Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS) telah diluluskan.
Beliau berkata, kemudahan infrastruktur berkenaan penting bagi memberikan keselesaan kepada pihak yang menjalankan urusan perniagaan serta menyokong kelancaran operasi syarikat berkenaan.
“Dan kita merasakan bahawa laluan tersebut sangat penting. Jadi, kebetulan kita pun ada kedudukan kewangan, kita luluskan dan ini memberi kemudahan, keselesaan kepada mereka yang berurusan dalam perniagaan seharian,” katanya lagi.
Kerja-kerja baik pulih dan naik taraf jalan berkenaan dijangka siap sepenuhnya pada Mac 2027. -PAHANGMEDIA

