KUANTAN, 30 OKTOBER 2026 : Kerajaan Negeri Pahang bersetuju menaikkan kadar Bayaran Sara Hidup bulanan kepada peserta Rancangan Penempatan Semula Keselamatan (RPSK) daripada RM1,000 kepada RM1,100 seorang, berkuat kuasa Januari 2027.
Keputusan menerusi Mesyuarat Lembaga Pengarah Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Pahang (PKPP) itu melibatkan seramai 563 peserta di empat rancangan penempatan iaitu Sungai Chalit, Raub serta Merapoh, Peruang dan Jerkoh di Lipis.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kenaikan tersebut merupakan usaha kerajaan negeri untuk terus memberikan perhatian terhadap kebajikan dan keperluan sara hidup peserta RPSK, khususnya dalam menghadapi peningkatan kos kehidupan semasa.
Menurut beliau, kadar bayaran berkenaan tidak pernah disemak semula sejak 2013 dan sudah tiba masanya ia dinilai semula agar lebih bersesuaian dengan keadaan serta keperluan semasa.
“Pelaksanaan kenaikan itu melibatkan tambahan implikasi kewangan sebanyak RM675,600 setahun,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Beliau berharap kenaikan berkenaan dapat memberikan sedikit kelegaan kepada peserta serta keluarga mereka dalam menguruskan perbelanjaan harian.
“Kerajaan Negeri akan terus berusaha memastikan kebajikan rakyat sentiasa terbela, selaras dengan Aspirasi Pahang 1st,” katanya – PAHANGMEDIA

