Oleh : Nur Saadah Artika
Foto : Shahrizar Azdhar
LIPIS, 30 OKTOBER 2026 : Sesi Townhall sempena Program Sentuhan Rakyat Makmur (PSRM) Negeri Pahang peringkat Daerah Lipis memberi peluang kepada penduduk menyuarakan permasalahan setempat secara langsung kepada pihak kerajaan untuk perhatian dan tindakan lanjut.
Wakil Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Kuala Kecau, Rozila Mat Sah, 41, berkata program seumpama itu membolehkan rakyat berkongsi masalah yang dihadapi serta mendapatkan maklum balas secara langsung daripada pihak berkaitan.
Bagaimanapun, beliau berpandangan penyampaian jawapan masih boleh ditambah baik supaya persoalan yang dibangkitkan peserta dapat dijawab dengan lebih tepat dan menepati isu sebenar.
“Pada saya, hanya 50 peratus jawapan yang kita terima bersesuaian dengan soalan yang dikemukakan. Ada jawapan yang dirasakan tidak sampai kepada apa yang kita tanyakan.

“Bagaimanapun, saya bangga dan bersyukur apabila kerajaan mengambil berat terhadap rakyat dengan memberikan peluang kepada kami untuk berkongsi luahan hati,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas sesi Townhall sempena PSRM Negeri Pahang peringkat Daerah Lipis di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, di sini.
Menurutnya, penyertaan dalam program itu merupakan pengalaman pertama beliau menghadiri majlis seumpamanya dan menghargai peluang yang diberikan kepada rakyat untuk menyampaikan pandangan serta keperluan secara terus kepada pihak kerajaan.
Sementara itu, penduduk Kampung Jerangsang, Haji Hasnuddin Sulaiman, 73, berharap sesi Townhall seumpama itu dapat diteruskan pada masa akan datang bagi membolehkan masyarakat mengetahui perkembangan isu yang dibangkitkan serta tindakan susulan oleh pihak berkaitan.

Beliau berkata, program berkenaan memberi peluang kepada penduduk mendapatkan penjelasan secara langsung daripada pihak kerajaan, selain memahami usaha yang dilaksanakan bagi menangani permasalahan rakyat.
“Saya memang seronok dengan program macam ini dan berharap ia bukan kali terakhir diadakan. Kalau boleh, teruskan lagi tahun depan supaya kita dapat mengetahui apa yang telah dilakukan dan perkembangan perkara yang dibangkitkan.
“Saya ucapkan terima kasih kepada pihak penganjur kerana mengadakan program seperti ini,” katanya.
Sesi Townhall itu merupakan sebahagian daripada PSRM Negeri Pahang peringkat Daerah Lipis yang menghimpunkan pentadbiran negeri, ketua-ketua jabatan dan masyarakat setempat bagi membolehkan penduduk mengemukakan pertanyaan, pandangan serta permasalahan untuk perhatian pihak berkaitan. -PAHANGMEDIA

