KUANTAN, 29 OKTOBER 2026 : Yayasan Pahang menerima pengiktirafan Special Award: Best in Social Impact & Economic Empowerment pada majlis BusinessToday Industry Choice Awards 2026 yang berlangsung di ibu negara, semalam.
Anugerah berkenaan disampaikan oleh Pengerusi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) merangkap Penasihat Kanan Politik kepada Perdana Menteri, Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz, dan diterima oleh Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pahang, Dato’ Indera Mahmud Mohd Nawawi.

Pengiktirafan itu mencerminkan komitmen berterusan Yayasan Pahang dalam memperkasa masyarakat menerusi pendidikan, pembangunan komuniti dan pembukaan peluang ekonomi, selaras dengan aspirasi Pahang1st.
Dato’ Indera Mahmud berkata, kejayaan itu merupakan manifestasi komitmen Yayasan Pahang dalam memacu pembangunan sosioekonomi dan modal insan di negeri ini.
Menurutnya, pencapaian itu turut didorong sokongan Kerajaan Negeri Pahang serta dedikasi warga kerja Yayasan Pahang dan kumpulannya dalam memastikan setiap inisiatif memberikan impak positif secara langsung kepada rakyat.

Menerusi Program Jaminan Kerjaya di bawah YP Advanced Skills Sdn. Bhd., seramai 8,629 pelatih berjaya mendapatkan pekerjaan sejak 2021, dengan 63 peratus daripada mereka memperoleh pendapatan melebihi RM2,500 sebulan.
Dalam bidang pendidikan pula, Maahad Tahfiz Turath Negeri Pahang mencatatkan Gred Purata Sekolah (GPS) 0.60 dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025, manakala Maahad Tahfiz Negeri Pahang merekodkan GPS 0.99.
Pencapaian itu memperkukuh komitmen Yayasan Pahang untuk terus memperluas manfaat inisiatif pendidikan dan ekonomi, sekali gus memastikan usaha pembangunan negeri memberikan impak berterusan kepada rakyat. -PAHANGMEDIA

