Oleh : Syafiqah Jamaluddin
Foto : Nur Saadah Artika
MARAN, 22 OKTOBER 2026 : Kerajaan Negeri Pahang menyalurkan RM20,000 kepada Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Maran dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) bagi menyokong pelaksanaan aktiviti komuniti setempat.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB Dato’ Hajah Sabariah Saidan berkata, peruntukan itu masing-masing berjumlah RM10,000 kepada PAWE Maran dan JPKK.
“Hari ini kerajaan negeri di bawah pimpinan Menteri Besar Pahang telah menyumbangkan sebanyak RM10,000 untuk PAWE dan RM10,000 untuk JPKK,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui sempena Jelajah Aspirasi Pahang 1st di daerah Maran yang turut melibatkan lawatan ke PAWE Maran di Jengka 3 dan Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS).

Menurut beliau, pelbagai aktiviti menarik dilaksanakan di PAWE berkenaan bagi menggalakkan penglibatan aktif warga emas, termasuk pertandingan menghias kek.
“Contohnya, hari ini mereka mengadakan pertandingan mendekorasi kek, di mana pihak PAWE menyediakan kek, krim dan aising, manakala bahan tambahan dibawa sendiri oleh peserta yang bertanding,” katanya.
Aktiviti seumpama itu bukan sahaja memberi peluang kepada warga emas mengetengahkan kreativiti, malah menggalakkan interaksi sosial serta penglibatan mereka dalam program komuniti yang bermanfaat.
Dalam pada itu, sumbangan kepada JPKK diharap dapat membantu memperkukuh pelaksanaan aktiviti di peringkat kampung, sekali gus memberi manfaat kepada penduduk setempat.
Jelajah Aspirasi Pahang 1st merupakan antara pendekatan kerajaan negeri untuk mendekati rakyat, meninjau pelaksanaan program serta mengenal pasti keperluan masyarakat di peringkat komuniti. -PAHANGMEDIA

