Oleh : Khairul Azrin
Foto : Naim Aiman
MARAN, 21 OKTOBER 2026 : Keperluan kemudahan awam dan kebajikan penduduk FELDA Jengka 5 diberi perhatian menerusi Jelajah Aspirasi Pahang 1st bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Sentul, hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB Dato’ Amizar Abu Adam turun padang meninjau kemudahan setempat serta menyantuni penduduk bagi mengenal pasti keperluan masyarakat.
Dalam lawatan itu, beliau meluluskan peruntukan RM20,000 kepada Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) FELDA Jengka 5 bagi membaiki pagar dewan JPKK berkenaan.

Beliau turut meninjau Dewan Semai Bakti FELDA Jengka 5 serta kemudahan sukan termasuk padang bola sepak dan gelanggang futsal yang menjadi tumpuan aktiviti penduduk setempat.
Selain itu, Dato’ Amizar turut mengadakan Ziarah Kasih ke kediaman Salmi Sulaman sebagai usaha mendekati masyarakat dan memahami keperluan mereka secara langsung.
Jelajah Aspirasi Pahang 1st menjadi platform bagi kepimpinan negeri meninjau keadaan sebenar di lapangan, mengenal pasti isu setempat serta memastikan keperluan masyarakat, khususnya berkaitan kemudahan awam dan kesejahteraan komuniti FELDA, terus diberi perhatian. -PAHANGMEDIA

