Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Farizul Hafiz Awang
MARAN, 21 OKTOBER 2026 : Masyarakat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Sentul teruja menyambut kehadiran YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail, sempena Program Jelajah Aspirasi Pahang 1st di Masjid Al-Muhajirin, FELDA Ulu Jempol, di sini, hari ini.
Penyelaras DUN Kuala Sentul, YH Dato’ Mukaram Shah Zainuddin, berkata program berkenaan memberi peluang kepada penduduk bertemu secara bersemuka dengan Menteri Besar dan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan yang turun padang menyantuni masyarakat di kawasan berkenaan.

Katanya, pemilihan DUN Kuala Sentul sebagai lokasi penganjuran kali ini amat dihargai kepimpinan setempat kerana memberi ruang kepada rakyat mendekati pemimpin negeri.
“Alhamdulillah, saya bagi pihak kepimpinan di sini mengucapkan ribuan terima kasih yang tidak terhingga kepada YAB Dato’ Sri Diraja kerana memilih DUN Kuala Sentul, tempat yang mana Aspirasi Pahang 1st dibuat buat kali keduanya untuk Maran,” katanya.
Menurutnya, program Jelajah Aspirasi Pahang 1st sebelum ini diadakan di DUN Luit pada November tahun lalu, manakala kali ini penduduk Kuala Sentul berpeluang bertemu sendiri dengan Menteri Besar dan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan.

Keterujaan itu turut dikongsi penduduk FELDA Ulu Jempol, Encik Zamri Ghazali, 59, yang menyifatkan kunjungan berkenaan sebagai peluang terbaik untuk mengenali keperibadian YAB Menteri Besar Pahang ketika bersama rakyat.
“Ini adalah satu peluang yang terbaik bagi kami penduduk-penduduk di sini. Yang pertama sekali kita boleh mengenali hati budi YAB MB (Menteri Besar), macam mana dia bersama dengan rakyat, orang kata tidak sombong dan apa semua. Itu adalah benda yang terbaik, memang kita alu-alukan kedatangan.
“Harapan saya supaya MB akan terus menjadi pemimpin nombor satu di negeri Pahang. Itu harapan penuh kami rakyat FELDA Ulu Jempol,” ujarnya.

Sementara itu, penduduk, Puan Zaharah Abdullah, 45, berkata dia gembira apabila mengetahui Menteri Besar akan mengunjungi kawasan berkenaan kerana dapat mengeratkan silaturahim antara pemimpin dan masyarakat.
“Saya seronok bila tahu MB nak datang dekat sini, dapat mengeratkan lagi silaturahim kita semua. Dengan kehadiran YAB, kita seronoklah menyambut beliau datang ke sini kan,” katanya.
Puan Zaharah berkata, program seumpama itu amat baik kerana membolehkan penduduk berkumpul dan bertemu sendiri dengan YAB Menteri Besar Pahang. -PAHANGMEDIA

