Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Shahrizar Azdhar
SELANGOR, 06 SEPTEMBER 2026 : Atlet memanah para Pahang, Loh Chi Hoi tidak menyangka percubaannya dalam acara Para Recurve Women 70 meter pada Para SUKMA Selangor 2026 hari ini membawa pulang kilauan pingat emas.
Lebih manis, kejayaan tersebut hadir ketika dirinya masih belum berada pada tahap terbaik memandangkan sebelum ini berhadapan dengan masalah kesihatan serta ketidakonsistenan prestasi.
Menurut Loh, kemenangan pingat emas kedua buat kontinjen Pahang tersebut disifatkan sebagai menebus kembali kekalahan dan kehilangan yang dialaminya sebelum ini.
“Saya rasa gembira, happy. Apa yang hilang sebelum ini boleh dapat balik, apa yang lost di depan, belakang sudah dapat balik.
“(Latihan) Sesi pagi dan sesi petang. Pagi 200 (anak panah), petang mungkin kurang atau lebih. Dia macam sehari kena cukupkan 300 batang, lebih kurang.
“Kalau lebih, shoot lebih, baru dapat feeling. Kalau tak, tak akan dapatkan cara shoot dengan feeling semua,” katanya.
Atlet berusia 36 tahun berkenaan mengakui beliau pada awalnya tidak meletakkan harapan tinggi untuk meraih emas, malah menyifatkan dirinya agak lemah dan kurang konsisten sebelum pertandingan.
“Saya memang tak jangka. Saya rasa saya lemah. Kali ini pun saya tak tahu, sebab saya tak konsisten. Tambahan pula baru sihat sedikit dan cuaca panas. Saya pun lambat dapat rentak serta perlu cari semula feeling untuk melakukan bidikan,” katanya.
Kongsi Loh lagi, kejayaan kali ini cukup bermakna memandangkan beliau sendiri menganggap penyertaan kali ini mungkin menjadi penampilan terakhirnya di pentas Para SUKMA.
“Saya pun anggap ini sebagai last SUKMA saya. Tak tahu lagi sebab untuk SUKMA akan datang kita pun tak pasti had umur dia berapa. Saya sangat gembira kerana dapat bawa satu pingat emas untuk Pahang,” katanya.
Loh muncul juara dalam acara Para Recurve Women pada pusingan kelayakan di Kompleks Belia dan Sukan (KOMBES) Negeri Selangor, di Shah Alam dengan mencatat 493 mata untuk menduduki tempat pertama, mengatasi wakil Sabah yang mengumpul 490 mata, manakala atlet Kedah meraih gangsa dengan 488 mata. -PAHANGMEDIA

