Oleh : Nur Saadah Artika
Foto : Farizul Hafiz Awang
LIPIS, 06 SEPTEMBER 2026 : Pemberian baucar RM100 kepada setiap 11,870 petugas kesihatan di bawah Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) bukan sahaja membantu meringankan keperluan harian, malah menjadi suntikan semangat kepada warga kerja kesihatan untuk terus melaksanakan tugas dengan penuh dedikasi.
Bagi Encik Fairul Nizam Muhamad Arif, 42, yang bertugas di Jabatan Bedah Mulut Hospital Kuala Lipis, penghargaan daripada Kerajaan Negeri Pahang itu sedikit sebanyak dapat membantu petugas memenuhi keperluan harian selain memberi motivasi untuk terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

“Terima kasih kepada Kerajaan Negeri Pahang terutama Tokwan kita kerana baucar ini sedikit sebanyak membantu untuk membeli keperluan harian.
“Sebagai petugas kesihatan, pemberian seperti ini sememangnya bagus untuk menaikkan semangat semua kakitangan untuk terus bekerja dengan lebih berdedikasi,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Apresiasi Pahang1st kepada petugas kesihatan Jabatan Kesihatan Negeri Pahang di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, di sini, hari ini.
Beliau turut berharap agar nilai baucar berkenaan dapat ditambah pada masa akan datang sebagai manfaat berterusan kepada warga kerja kesihatan negeri.

Sementara itu, Puan Alisa Abdullah Sidek, 38, jururawat Hospital Kuala Lipis yang telah berkhidmat selama 16 tahun berkata, pemberian tersebut amat dihargai kerana boleh digunakan untuk pelbagai keperluan, termasuk urusan harian seperti bayaran parkir.
Katanya, kemudahan aplikasi PahangGo yang telah lama digunakannya turut memudahkan urusan harian, khususnya ketika membuat bayaran berkaitan parkir.
“Saya berasa suka sangat bila dapat baucar ini, terutamanya kalau nak pergi ke mana-mana senang, terutama untuk parking. Saya pun dah lama guna PahangGo, jadi mudah untuk saya,” katanya.
Beliau yang merupakan anak kelahiran Lipis turut menyatakan penghargaan kepada YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, kerana menerajui negeri serta memberi perhatian kepada kebajikan warga kerja.
“Saya sebagai rakyat Pahang dan saya asal Lipis, Pahang, saya bersyukur jadi orang Pahang dan bersyukur sangat Tokwan menerajui kami semua,” katanya.

Dalam pada itu, Puan Rosmaniran Mohamed, 53, yang juga jururawat Hospital Kuala Lipis telah merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri atas sumbangan dan penghormatan yang diberikan kepada jururawat serta petugas kesihatan.
“Saya mewakili jururawat negeri Pahang ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Kerajaan Negeri terutama Tokwan di atas sumbangan dan penghargaan kepada semua jururawat dan petugas kesihatan.
“Saya berharap agar pemberian ini boleh diteruskan dan diberikan kepada semua kakitangan kejururawatan tanpa mengira gred,” katanya.
Majlis Apresiasi Pahang1st itu menjadi lambang keprihatinan dan usaha berterusan kerajaan negeri menyantuni mereka yang berkhidmat demi rakyat Pahang. -PAHANGMEDIA

