Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 30 OGOS 2026 : Buku Modul Pahang First SPM Tok Wan terbukti memberi manfaat kepada pelajar di negeri ini dalam memperkukuhkan penguasaan akademik, khususnya menerusi latihan topikal dan soalan berformat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Menurut Muhammad Fikri Haziq Abdl Qadir, 18, dari Kampung Bukit Nikmat, Jerantut, modul berkenaan banyak membantunya memperbaiki kelemahan khususnya dalam mata pelajaran Matematik sehingga berjaya memperoleh keputusan 6A+ dan 3A di dalam SPM.

Muhammad Fikri Haziq yang merupakan lepasan SMK Tengku Ampuan Hajjah Afzan, Jerantut, berkata, modul berkenaan dimanfaatkan sebagai bahan latihan tambahan untuk mengenal pasti kelemahan dan meningkatkan kemahiran menjawab soalan.
“Bagi sayalah, bagi saya modul Tok Wan tu sangatlah berfungsi bagi saya. Lagi-lagi sebab saya lemah dalam matematik. Jadi, saya guna modul Tok Wan tu untuk praktislah, untuk baiki apa yang saya lemah dan cari mana-mana yang saya tak dapat nak selesaikan.
“Jadi, modul Tok Wan tu je bantu juga dalam hal macam contoh-contoh soalan ke. So, saya dapatlah tiru-tiru contoh soalan tu untuk aplikasikan dalam soalan-soalan yang saya boleh jawab,” katanya.
Menurutnya, inisiatif Kerajaan Negeri Pahang menyediakan modul berkenaan memberi manfaat besar kepada pelajar, khususnya mereka yang memerlukan bahan tambahan untuk membuat persediaan menghadapi peperiksaan.
“Kepada Kerajaan Negeri dan Tok Wan, saya sangatlah bersyukur dan terima kasih banyak-banyak sebab bagi modul tu. Alhamdulillah saya dapat result yang cemerlang dalam SPM. Saya dapat 6 A+, dengan 3 A solid,” katanya yang kini melanjutkan pengajian dalam bidang Sains Komputer di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM).
Sementara itu, pelajar SMK Alor Akar, Kuantan, S. Melanie Esther, turut menyifatkan Modul Tok Wan sebagai bahan pembelajaran yang membantu meningkatkan persediaannya menghadapi SPM.

“Buku modul Tok Wan ni membantu saya dari segi latihan, contohnya macam buku Tok Wan ni, dia ada banyak latihan topikal dan juga latihan seperti soalan-soalan SPM. Lepas dah buat latihan tu saya boleh cek jawapan. Buku modul Tok Wan ni ada satu QR code yang kita boleh cek jawapan, so saya boleh tahu markah dia dekat mana.
“Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Pahang dan Tok Wan atas inisiatif buku modul Tok Wan yang diberi terima kasih,” kongsinya yang mendapat 9A dalam peperiksaan SPM dan kini merupakan penuntut aliran Sains Hayat di Kolej Matrikulasi Pahang.
Bagi Tay Jun Pin, 18, dari Temerloh, modul berkenaan banyak membantunya membuat ulang kaji dengan lebih terarah, khususnya menerusi latihan dan soalan yang lazim ditanya dalam peperiksaan SPM selain penggunaan modul tersebut secara berkumpulan bersama rakan-rakan turut memudahkannya memahami topik yang kurang difahami sebelum menduduki peperiksaan.

“Modul itu sangat membantu saya untuk membuat ulang kaji masa SPM sebab dia dapat bantu saya mengulang kaji soalan yang biasa keluar dalam SPM. So, saya dapat biasakan, dapat mahir, masa jawab soalan SPM. Kami juga bersama-sama membuat soalan dalam modul itu. Lepas itu, kalau ada yang tak faham boleh tanya sama-sama.
“Sangat mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri dan Tok Wan kerana memberikan modul itu sebab saya dapat mengulang kaji dengan senang dan dapat mencapai keputusan yang cemerlang disebabkan modul itu yang sangat membantu saya,” katanya yang memperoleh 10A dan kini menyambung pelajaran di Kolej Matrikulasi Gambang dalam aliran Sains Fizikal.
Sementara itu, Mimi Dayana Jafri, 18, dari Temerloh yang merupakan pelajar SMK Seri Tualang, turut mengakui modul berkenaan banyak membantu proses ulang kajinya sehingga berjaya memperoleh 9A dalam SPM.

Menurutnya, modul tersebut bukan sahaja menyediakan pelbagai latihan, malah mengandungi aktiviti yang berkaitan dengan pembelajaran dan eksperimen sebenar, sekali gus menjadikan proses ulang kaji lebih berkesan.
“Bagi saya dia sangat membantu sebab banyak soalan aktiviti yang masuk dekat dalam SPM yang sebenar. Kami membuat latihan, banyak latihan, buat rujukan dan sebagainya dan bagi saya dia sangat membantulah.
“Saya ingin mengucapkan banyak-banyak terima kasih kepada Tok Wan kerana memberikan kami modul dan juga makanan, semuanya, terima kasih sangat,” katanya kini melanjutkan pelajaran di Institut Pendidikan Guru Kampus Pendidikan Teknik Negeri Sembilan. -PAHANGMEDIA

