KUANTAN, 6 OKTOBER 2020: Seorang pemegang biasiswa Yayasan Pahang yang menerima anugerah daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB. Senator Datuk Dr. Zulkifli Al-Bakri dalam satu program di Selangor baru-baru ini adalah bekas pelajar Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP).
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, justeru, warga MTNP tidak terlibat dengan program Menteri Hal Ehwal Agama, YB. Senator Datuk Dr. Zulkifli Al-Bakri yang disahkan positif COVID-19.

“Hanya seorang alumni pelajar Diploma Tahfiz sahaja yang terlibat sebagai penerima anugerah pada program di Kuala Kubu Baru pada 3 Oktober lalu itu.
“Beliau telah menjalani kuarantin di rumah keluarganya di Bentong sebaik pulang dari majlis tersebut. Tiada juga sebarang kontak rapat dengan warga MTNP selepas program berkenaan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
YB. Senator Datuk Dr. Zulkifli semalam mengesahkan dirinya kini menerima rawatan selepas disahkan positif COVID-19.
Beliau juga menyeru orang ramai yang menghadiri majlis yang membabitkan kehadirannya dari 24 September hingga 4 Oktober supaya menjalani pemeriksaan saringan COVID-19 di klinik kesihatan dengan segera. – PAHANGMEDIA