Oleh : Aimi Syafiqa Khairi
KUANTAN, 16 JULAI 2026 : Kutipan zakat daripada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat bersekutu negeri di Pahang terus menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan apabila mencecah RM24 juta pada tahun 2025 berbanding RM19.6 juta pada tahun sebelumnya.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Kutipan Zakat dan Wakaf Pahang, Dr. Haji Mohd. Azmi Haji Othman, rekod terkini menunjukkan sebanyak 47 daripada 75 GLC dan syarikat bersekutu negeri telah menunaikan zakat, bersamaan 62 peratus daripada keseluruhan GLC di Pahang.
“Untuk makluman semua, rekod terkini bagi tahun 2025 menunjukkan terdapat 47 GLC dan syarikat bersekutu negeri Pahang yang berzakat daripada keseluruhan 75 buah GLC. Pahang merekodkan 62 peratus GLC berzakat dengan jumlah kutipan RM24 juta pada tahun 2025.

“Di samping itu, sehingga 15 Julai 2026, bilangan pembayar zakat korporat meningkat sebanyak 15 peratus dan jumlah kutipan turut meningkat sebanyak 18.4 peratus, iaitu daripada RM10.7 juta kepada RM12.7 juta, sekali gus menunjukkan peningkatan sebanyak RM1.9 juta,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Apresiasi Badan Korporat, GLC dan Rakan Strategik sempena Bulan Zakat dan Wakaf Negeri Pahang di House of Sanding, Kompleks Teruntum, di sini, hari ini.
Majlis berkenaan turut menyaksikan penyerahan bayaran zakat daripada dua badan korporat, iaitu Takaful Ikhlas dan Sun Life, selain menjadi platform menghargai peranan rakan strategik yang terus menyokong ekosistem zakat dan wakaf di negeri ini.

Tambahnya, kutipan zakat oleh Pusat Kutipan Zakat turut menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan apabila berjaya merekodkan kutipan sebanyak RM95.17 juta, meningkat sebanyak RM1.39 juta berbanding tempoh yang sama tahun lalu.
“Pusat Kutipan Zakat telah berjaya merekodkan kutipan sebanyak RM95.17 juta, meningkat RM1.39 juta atau 1.5 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu.
“Lebih membanggakan, bilangan pembayar sebenar meningkat kepada 96,964 orang, iaitu pertambahan seramai 6,857 orang.

“Manakala kutipan wakaf juga meningkat sebanyak 23.5 peratus, iaitu daripada RM2.6 juta kepada RM3.3 juta, dan bilangan pewakaf turut meningkat sebanyak 13.6 peratus, iaitu daripada 8,976 kepada 10,199 pewakaf,” katanya.
Di samping itu, beliau berkata Pusat Kutipan Zakat dan Wakaf Pahang akan terus memperkukuh jaringan bersama sektor korporat, GLC, institusi kewangan dan agensi kerajaan dalam memperluaskan budaya berzakat dan berwakaf menerusi Pelan Strategik Pusat Kutipan Zakat dan Wakaf Pahang (PKZW) 2026–2030.
“InsyaAllah, melalui Pelan Strategik Pusat Kutipan Zakat dan Wakaf Pahang (PKZW) 2026–2030, kami akan terus memperkukuh jaringan bersama sektor korporat, GLC, institusi kewangan dan agensi kerajaan bagi memperluaskan budaya berzakat dan berwakaf dalam kalangan masyarakat,” katanya. -PAHANGMEDIA

