Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 15 MEI 2026 : Kerajaan Negeri bertindak sebagai pemudah cara bagi membantu penggiat industri pelancongan mendapatkan akses kepada bantuan kewangan melalui Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia.
Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang, YB. Puan Leong Yu Man berkata, antara bantuan kewangan berkenaan ialah Geran Sokongan Sektor Pelancongan (GSSP), Geran Sokongan Sektor Kebudayaan (GSSK) dan Geran Galakan Melancong Malaysia (GAMELAN).
Selain itu katanya, bantuan lain juga termasuklah Tabung Pelancongan, iaitu pembiayaan bagi pembangunan produk pelancongan termasuk penambahbaikan premis dan modal kerja.
“Permohonan geran ini dibuka secara berkala melalui portal rasmi agensi berkaitan, dan Kerajaan Negeri melalui jabatan serta agensi terlibat turut menyediakan sokongan dari segi penyelarasan, khidmat nasihat serta pengesahan projek bagi memastikan lebih ramai pengusaha pelancongan Negeri Pahang mendapat manfaat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan lisan dikemukakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ketari, YB. Tuan Su Keong Siong pada Mesyuarat Pertama Penggal Ke-5 Dewan Negeri Pahang ke-15 di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.
Dalam pada itu katanya, bagi tahun 2026, Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM1 juta di bawah Belanjawan Negeri bagi melaksanakan pelbagai inisiatif pembangunan industri pelancongan.
“Antaranya adalah kursus-kursus pembangunan pakej pelancongan, kursus hospitaliti, kursus untuk pemandu pelancong alam semula jadi, kursus CTRE atau Continuing Tourism Related Education.
“Dan kita juga menawarkan pensijilan kepada operator yang menjalankan aktiviti lasak sebagai contoh, kayak, mendaki, ‘sky walks’, Via Ferrata, sebab kita nak memastikan supaya operator-operator ini adalah operator yang bertauliah untuk memberi keyakinan kepada pelancong.
Dalam pada itu, beliau berkata, Kerajaan Negeri turut menyediakan bantuan dalam bentuk skim perlindungan insurans berkelompok kepada penggiat industri pelancongan.
Katanya, bagi tempoh 2023 hingga 2025, sebanyak RM600,000 telah disalurkan bagi pelaksanaan skim tersebut yang memanfaatkan seramai 1,164 penggiat industri termasuk pemandu pelancong, pengusaha bot, malim gunung dan pengusaha homestay. -PAHANGMEDIA

