Oleh : Norhafizan Zulkifli & Ummul Qistina Sofea Mohd Ghazali
Foto : Shahrizar Adzhar
KUANTAN, 06 APRIL 2026 : Bantuan berterusan Kerajaan Negeri Pahang dalam memperkasa pendidikan masyarakat Orang Asli terbukti menjadi pemangkin semangat kepada pelajar untuk terus melakar kecemerlangan dalam akademik.
Pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 dari suku kaum Semelai, Cik Asniza A/P Asmawi, 18, berkata, pelbagai inisiatif yang disalurkan Kerajaan Negeri banyak membantu beliau untuk terus fokus dalam pelajaran.
Cik Asniza yang memperoleh keputusan cemerlang 9A bercita-cita melanjutkan pengajian ke universiti dalam bidang perniagaan, sama ada di Universiti Malaya (UM) atau Universiti Kuala Lumpur (UniKL).

“Pada pandangan saya, Kerajaan Negeri sangatlah efisien dalam memberi bantuan dan saya sangat-sangat bersyukur sebab bantuan-bantuan ini memang membantu saya untuk terus sama belajar dan memberikan motivasi supaya saya bersemangat untuk belajar.
“Dan saya berterima kasih kepada ORACO (Pahang Orang Asli Corporation) sebab menjemput kami untuk datang ke hari ini,” katanya ketika ditemui selepas sesi pertemuan pelajar Orang Asli cemerlang SPM 2025 bersama Ketua Pegawai Eksekutif ORACO, YH. Dato’Muhammad Olian Abdullah di Bilik Mesyuarat Pahang Corporate Management Service (PCMS), di sini hari ini.
Beliau yang berasal dari Kampung Lubuk Tembangan, Bera berkata, sokongan berterusan itu turut menjadi inspirasi kepada pelajar Orang Asli lain untuk tidak berputus asa dalam menuntut ilmu.
“Oleh itu, saya berharap sangat pelajar-pelajar Orang Asli di sana untuk terus datang ke sekolah dan tidak ponteng sekolah. Sebabnya kejayaan itu bermula daripada usaha kita sendiri,” ujarnya.

Sementara itu, seorang lagi pelajar, Cik Nur Athirah Abdul Halim, 18, dari Kampung Orang Asli Bukit Gumuruh, Bera berkata, galakan dan motivasi yang diberikan Kerajaan Negeri mendorongnya untuk menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi.
Katanya, beliau yang memperoleh keputusan 8A 1B+ bercadang untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang Bahasa Arab di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) atau mengikuti laluan khas Institut Pendidikan Guru (IPG) dalam bidang kaunseling.
“Kerajaan negeri banyak sangat bagi kata-kata motivasi, membuatkan saya lagi minat nak sambung belajarlah daripada bekerja sebab bukan senang nak belajar. Lepas mereka kata dapat biasiswa penuh untuk pelajar cemerlang, kan.
“Jadi itu buat lagi saya nak sambung belajarlah. Saya harap mereka terus bagi motivasi dan kata-kata semangat,” katanya memaklumkan sumbangan yang diterima akan disimpan sebagai persediaan untuk melanjutkan pengajian kelak. -PAHANGMEDIA

