Oleh: Norhafizan Zulkifli
BENTONG, 4 MAC 2026 : Keprihatinan Kerajaan Negeri Pahang terhadap kebajikan rakyat terus dizahirkan apabila YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail menyampaikan sumbangan kepada enam penerima dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabai, di sini hari ini.
Penyampaian cek sumbangan bertempat di Majlis Perbandaran Bentong itu membabitkan nilai keseluruhan berjumlah RM34,000.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabai, YB Tuan V. Arumugam A. Veerappa Pilla berkata, sumbangan tersebut melibatkan bantuan kepada pesakit serta peruntukan membaik pulih gerai yang rosak.

“Pagi ini YAB. Menteri Besar Pahang telah menyampaikan sumbangan kepada penerima khususnya daripada kawasan DUN Sabai yang melibatkan pesakit dan juga ke bantuan untuk ah membaik pulih gerai.
“Saya ucapkan banyak-banyak terima kasihlah sebab kerajaan negeri, setiap kali ada mesyuarat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK), sebelum bermulanya mesyuarat, YAB. Menteri Besar Pahang selalu mengadakan majlis penyerahan sumbangan Kerajaan Negeri Pahang.
“Hari ini mesyuarat di Majlis Perbandaran Bentong. Sebelum bermulanya mesyuarat, YAB. telah menyampaikan bantuan kepada para penerima,” katanya.
Sementara itu, seorang penerima, Puan Foziah Nadzulan, 63, meluahkan rasa syukur atas bantuan diterima bagi membaik pulih atap kedai makannya yang telah beroperasi sejak 26 tahun lalu.
“Terima kasih pada Menteri Besar Pahang dan pada YB saya. Saya selalu sokong dia (YB ADUN Sabai).
“Ini membuktikan yang membuktikan kerajaan negeri prihatin pada usahawan-usahawan di Pahang ini,” katanya. -PAHANGMEDIA

