Oleh : Norhafizan Zulkifli
BENTONG, 16 FEBRUARI 2026 : “Bertuah, berbangga.. gembiralah,” luah Puan Anapurni a/p Mahadavan, 33, ibu bayi berusia tiga bulan yang merupakan antara 75 penerima sumbangan Permata Makmur 2026 bertempat di Dewan Serbaguna Felda Kampung Sertik, di sini hari ini.
Sumbangan di bawah Inisiatif Makmur Pahang (I.M Pahang) cetusan YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail tersebut amat bermakna buat ibu kepada empat cahaya mata itu.
Katanya, ia bukan sahaja meringankan beban kewangan keluarga, malah membuktikan bahawa Kerajaan Negeri sentiasa prihatin terhadap kebajikan rakyat.

“Lagi senang Permata Makmur ini senang, dapat barang sekali… sangat berterima kasihlah Kerajaan Negeri.
“Ada simpan dalam bank dialah untuk beli barang untuk dia, untuk pelajaran ke, untuk kesihatan untuk dialah.
“Terima kasih Permata Makmur, kepada YAB. Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail. Banyak terima kasih untuk barang kita dapat.. Negeri Pahang banyak terima kasihlah,” katanya.
Nada sama turut disuarakan Puan Nurul Ainun Nisa Rosli, 31, anak jati Felda Kampung Sertik yang menyifatkan penerimaan bantuan bagi anak keduanya yang lahir pada 2025 sebagai satu rezeki dan ‘tuah’ buat keluarganya.

“Rasa bertuah sebab yang anak first (sulung) itu tak dapat. ‘So’ yang kedua ini dapat. ‘So’ memang macam ‘luck’ juga lah.
“Terima kasih kepada Kerajaan Negeri dan juga YAB. Menteri Besar sebab bagi sumbangan ini kepada anak-anak yang lahir tahun 2025 dengan 2026.
“(Harapan) supaya program ini akan berterusan lah, dapat meringankan beban rakyat ataupun sumbangan-sumbangan lain lah.Terima kasih banyak-banyak,” ujarnya.

Sementara itu, Puan Raihana Rahimi, 29, yang berasal dari Kuantan dan kini menetap di Bentong selepas berkahwin, turut meluahkan rasa syukur apabila anak sulungnya, Hamzah Raqid Muhammad Hannan Ikhwan yang kini berusia tujuh bulan, terpilih menerima manfaat tersebut.
Menurutnya, sebagai suri rumah dengan suami bekerja sebagai pemandu, bantuan berkenaan amat membantu meringankan perbelanjaan keluarga.
“Dengan adanya Permata Makmur ini dapatlah meringankan beban kami sekeluarga untuk beli barang-barangan bayi.
“Terima kasih saya ucapkan kepada kerajaan Negeri Pahang dan juga YAB. Menteri Besar Pahang atas inisiatif yang diberi ini,” katanya. -PAHANGMEDIA

