KUANTAN, 13 JANUARI 2026 : Penantian selama 15 tahun sepasang suami isteri untuk menimang cahaya mata akhirnya berakhir apabila bayi sulung mereka hasil rawatan persenyawaan tabung uji (IVF) tajaan Yayasan Fertiliti Tunku Azizah (TAFF) selamat dilahirkan pada Jumaat lalu.
Abdul Aziz bin Abd Halim dan isterinya, Noor Hamira binti Mohd Sani, melahirkan rasa syukur dan gembira atas kelahiran bayi lelaki seberat 2.97 kilogram yang diberi nama Mikhael, yang dilahirkan dalam keadaan sihat.

Kegembiraan tersebut turut dikongsi oleh Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj, yang berkenan bercemar duli melawat ibu dan bayi di Hospital Selayang, Selangor, pada Sabtu lalu.
Paduka Baginda kelihatan ceria meluangkan masa bersama Mikhael, yang merupakan bayi ke-150 dilahirkan hasil rawatan tajaan TAFF sejak yayasan itu ditubuhkan pada tahun 2004.

Untuk rekod, Yayasan Fertiliti Tunku Azizah yang diasaskan atas inisiatif KDPB Tengku Ampuan Pahang sejak 21 tahun lalu telah menaja seramai 553 pasangan suami isteri di seluruh negara yang berdepan kesukaran mendapatkan zuriat.— PAHANGMEDIA

