Oleh : Ain Nadhirah Basha
BENTONG, 09 JANUARI 2026 : Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang bertitah supaya penerima rumah mangsa banjir Bulan Sabit Merah Emirates (ERC) dan rumah Rakyat Al-Sultan Abdullah (Ru’RASA) menjadikan kediaman yang diterima tempat yang selesa bagi seisi keluarga.
Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah turut bertitah supaya semua penerima untuk hidup bersama dalam keadaan muhibah dan harmoni.
“Saya ingin menasihatkan supaya jagalah rumah-rumah ini dengan sebaik mungkin dan janganlah, ini saya ingatkan kepada yang lain juga, supaya tidak ada usaha untuk menyewakan ataupun menjual kediaman ini.
“Jadikan rumah ini tempat untuk kita dapat keselesaan dan kesejahteraan untuk anak cucu kita. Walaupun kecil tetapi usaha ini yang paling besar sekali untuk kita semua dan kita harus berterima kasih dan bersyukur kehadrat Allah S.W.T.
“Saya harap penduduk di sini tinggal dalam keadaan muhibah dan harmoni dan jagalah kebersihan di kawasan setiap kampung di daerah Bentong ini,” titah baginda.

Paduka Baginda turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dengan pembinaan rumah-rumah ini selain berharap kesemua penghuni agar sentiasa bersyukur dan berterima kasih dengan kediaman yang dimiliki.
“Saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan kesyukuran kepada awak semua kerana dapat meperolehi rumah secara free.
“Dan dalam pada itu, saya mengucapkan terima kasih kepada pihak-pihak Kerajaan dan pihak Pejabat Daerah dan juga Lembaga Perumahan di atas segala bantuan dan kerjasama untuk menyediakan rumah bantuan mangsa banjir ini daripada pihak ERC.
“Saya dimaklumkan tadi 121 rumah telah pun siap termasuk yang hari ini di tujuh daerah dan ini satu usaha yang cukup besar. Kita harap penghuni yang menerima rumah-rumah ini akan sentiasa bersyukur dan berterima kasih kepada pemberian oleh pihak ERC dan sebagainya,” titah baginda.
Al-Sultan Abdullah berkenan menyampaikan kunci rumah kepada 32 penerima melibatkan 28 buah rumah ERC dan empat buah rumah Ru’RASA di Kampung Sungai Perdak hari ini.
Turut berangkat mengiringi Kebawah Duli Paduka Baginda, Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. -PAHANGMEDIA

