Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
ROMPIN, 05 JANUARI 2026 : Sebuah jambatan Bailey akan mula dibina esok di Kampung Sungai Mok bagi menggantikan jambatan di kampung berkenaan yang runtuh pada Jumaat lepas.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Ir. Razali Kassim, jambatan ini dijangka akan selesai dibina dalam tempoh lima hari bagi menghubungkan kira-kira 437 penduduk kampung berkenaan sebelum sesi persekolahan dibuka.

“Untuk sementara waktu, pihak kerajaan setuju untuk kita buat jambatan Bailey. Dijangka bahawa kerja-kerja pembinaan bermula esok.
“Dan jangka masa kita siapkan jambatan Bailey dalam lima hari dengan panjang jambatan berkenaan kira-kira 100 kaki. Diharapkan jambatan ini dapat disiapkan sebelum cuti buka sekolah.

“Jadi tak ada masalah untuk para pelajar, guru-guru untuk pergi sekolah termasuk juga sebab dalam kampung ini pun ada klinik kesihatan dan sebagainya dan penduduk yang ada di Sungai Mok ni ada 185 keluarga dan 437 orang penduduk,” katanya.
Beliau berkata pembinaan jambatan ini merupakan langkah sementara yang diambil oleh Kerajaan Negeri sehingga mendapat peruntukan bagi pembinaan jambatan kekal.

“Jambatan Bailey ini dibina buat sementara sehingga kita dapat peruntukan yang sebenar untuk buat jambatan kekal dan kalau saya lihat ia disebabkan hakisan disebabkan aliran air dan hujan lebat.
“Jadi untuk cadangan baru kita harap pihak Kerajaan dapat meluluskan satu jambatan baru dan menaik aras kawasan ni sebab kawasan ini memang setiap tahun banjir. Kalau banjir memang kawasan ini akan terputus, lebih kurang 700 meter,” katanya.

Pada Jumaat lepas, kejadian runtuhan jambatan yang menghubungkan Kampung Selendang dan Kampung Sungai Mok yang dilaporkan berlaku kira-kira 8 pagi, ditutup sepenuhnya kepada semua jenis kenderaan berikutan kejadian runtuhan jambatan berkenaan dan tiada laluan alternatif disediakan. -PAHANGMEDIA

