Oleh: Norhafizan Zulkifli
Foto: Ezzatul Syafiqa Asmawai
LIPIS, 4 JANUARI 2026 : Kerajaan Negeri menegaskan bahawa kebajikan hampir 95,000 masyarakat Orang Asli di seluruh negeri ini akan terus menjadi perhatian utama.
YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pelbagai usaha berterusan telah dan sedang dilaksanakan Kerajaan Negeri bagi meningkatkan taraf hidup serta kesejahteraan mereka.

“Sehingga hari ini, terdapat hampir 95,000 orang masyarakat Orang Asli di seluruh Negeri Pahang, dan saya ingin menegaskan bahawa Kerajaan Negeri tidak pernah mengabaikan komuniti ini.
“Sebaliknya, pelbagai usaha berterusan telah dan sedang dilaksanakan bagi memastikanmasyarakat Orang Asli turut menikmati arus pembangunan negeri secara saksama dan bermaruah,” katanya ketika berucap merasmikan Program Ramah Mesra Bersama Penduduk Kampung Orang Asli Pos Lenjang dan Pos Titom, di sini, malam semalam.

Majlis berkenaan turut dihadiri Timbalan Speaker Dewan Rakyat merangkap Ahli Parlimen Cameron Highlands, YB Dato’ Dr. Ramli Mohd. Nor, Pengerusi Parliamentarians Federation for World Peace (PFWP), YB Senator Datuk Wira Dr. Mohd. Hatta Md. Ramli, ketua-ketua jabatan dan pimpinan setempat.
Beliau turut menyeru masyarakat Orang Asli agar tidak mudah terpengaruh dengan dakyah dan fitnah yang boleh menjejaskan keharmonian serta masa depan komuniti sendiri.

Kerajaan Negeri katanya, sentiasa berpegang kepada prinsip kejujuran, keadilan dan keterbukaan, serta melaksanakan dasar berteraskan fakta, keperluan sebenar rakyat dan semangat kebersamaan.
“Perpaduan, saling percaya dan kerjasama dengan kerajaan adalah kunci utama untuk memastikan pembangunan yang berterusan dan seimbang dapat dinikmati bersama,” ujarnya.
Beliau dalam masa sama turut menggesa generasi muda Orang Asli supaya memanfaatkan peluang pendidikan dan kemahiran yang disediakan kerajaan, tanpa mengabaikan adat, budaya serta nilai murni warisan nenek moyang.-PAHANGMEDIA

