Oleh : Norhafizan Zulkifli
KUANTAN, 24 DISEMBER 2025 : Semua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di negeri ini telah ditutup sepenuhnya selepas keadaan banjir di semua daerah terjejas dilaporkan pulih.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Pahang memaklumkan, dua PPS terakhir yang ditutup ialah Dewan Orang Ramai Kampung Semangat, Kuantan iaitu pada jam 2.30 petang dan PPS Balairaya Kampung Baru Pertanian, Maran pada jam 3.30 petang hari ini.
Penutupan PPS tersebut dibuat susulan paras air sungai yang telah kembali ke tahap selamat serta keadaan cuaca yang semakin baik.
Terdahulu media melaporkan sebanyak 170 PPS telah dibuka melibatkan 18,303 mangsa terjejas dalam kejadian banjir yang melanda negeri ini bermula 19 November lalu.
Kejadian itu melibatkan lapan daerah di negeri ini dengan Kuantan mencatatkan jumlah mangsa paling tinggi.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Pahang, Kolonel (PA) Che Adam A. Rahman dalam kenyataannya kepada media hari ini berkata, JPBN dan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) masih lagi dalam kesiapsagaan yang baik di seluruh daerah di negeri ini.
“Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) telah mengeluarkan amaran cuaca tahap waspada di sebahagian Semenanjung Malaysia termasuk di Pahang ini bermula 26 Disember sehingga 29 Disember ini.
“InsyaAllah bagi pihak APM kita akan terus bersiap siaga menghadapi luruan berikutnya dan alhamdulillah kita telah bersedia.
“Semua aset logistik selepas operasi banjir baru ini kita telah lihat, kita telah selenggara dan menilai semula mana yang perlu termasuk juga aspek kesiapsiagaan sumber manusia anggota kuta dan sebagainya,” katanya.
Beliau turut menasihati orang ramai sama ada yang terjejas dengan banjir mahupun tidak untuk terus peka dan bersiap siaga sama ada di kawasan berisiko mahupun tidak.
“Ini kerana cuaca boleh berubah, pada bila-bila masa sahaja boleh berlaku angin kencang dan sebagainya. Jadi teruslah bersiap siaga bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) pada kali ini,” katanya lagi. -PAHANGMEDIA

