Oleh : Aimi Syafiqa Khairi
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 15 DISEMBER 2025 : Seramai 350 penjawat awam Negeri Pahang telah menerima Sijil Program Profesional Pentadbiran Awam Negeri Pahang (PPPANP) hari ini.
Menurut Pengerusi UnIPSAS Holdings Sdn. Bhd. (UHSB), YH Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak, program berkenaan bertujuan memberikan pendedahan kepada kakitangan awam Negeri Pahang terhadap pengetahuan dan kemahiran dalam subjek pentadbiran awam.
“Kursus ini sebenarnya untuk memberikan pendedahan kepada kakitangan awam Negeri Pahang termasuk Syarikat Berkaitan Kerajaan Negeri Pahang (S-GLC) terhadap pengetahuan dan kemahiran di dalam subjek-subjek berkaitan dengan pentadbiran awam.

“Matlamatnya untuk memastikan kakitangan awam Negeri Pahang ini mempunyai pengetahuan yang terkini mengenai sistem pentadbiran, mengenai isu-isu pentadbiran dan mengukuhkan pentadbiran awam,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Konvokesyen Ke-2 Program Profesional Pentadbiran Awam Negeri Pahang (PPPANP) di Grand DarulMakmur Hotel, hari ini.
Turut hadir, Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan), YH. Dato’ Ts. Gs. Dr. Mohd Zakaria Ibrahim, selaku wakil rasmi YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Nazri Abu Bakar.

Tambahnya, pihak UniPSAS Holding Sdn. Bhd. sedang berusaha mendapatkan kelulusan bagi menambah baik program tersebut ke peringkat Diploma.
“InsyaAllah kami berusaha untuk mendapatkan kelulusan daripada pihak-pihak tertentu supaya kursus ini bertambah baik untuk menjadi Diploma.
“Kita berharap kursus ini bukan sahaja untuk mengukuhkan pentadbiran Negeri tapi membuka peluang kepada kakitangan untuk meningkatkan dan menambah baik kerjaya mereka. Jadi mereka boleh menggunakan kursus ini jika sudah ada Diploma nanti sebagai pendorong kerjaya mereka,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menyatakan penambahbaikan akan dilakukan pada siri keempat dengan mengadakan kursus Kecerdasan Buatan (A.I) dan Tafsiran al-Quran.
“Kita sedang menyusun untuk siri empat dan pada siri empat ini akan ditambah baik. Antaranya berkaitan dengan A.I (Kecerdasan Buatan) dan Tafsiran Al-Quran.
“Jadi kita akan menambah baik supaya kursus ini ada dinamiknya, maknanya setiap siri itu mempunyai penambahbaikan untuk memberikan pendedahan yang terkini sebab sekarang ini yang perlu ada penggunaan A.I yang berkesan,” katanya. -PAHANGMEDIA

