Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 10 DISEMBER 2025 : Projek pembinaan rumah Program Residensi Rakyat (PRR) Bera yang sebelum ini dikenali sebagai Projek Perumahan Rakyat (PPR) kini berada dalam fasa akhir projek tender melibatkan penilaian teknikal dan kewangan sebelum Surat Setuju Terima (SST).
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff, berkata kerja-kerja pembinaan PRR Bera dijangka bermula April tahun hadapan, tertakluk kepada pemuktamadan tender dan pelantikan kontraktor.
Katanya, projek PRR Bera akan dilaksanakan melalui kontraktor yang dilantik oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang bertanggungjawab sepenuhnya daripada aspek reka bentuk, pembinaan, sehingga memperoleh Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) sebelum diserahkan untuk proses pengisian oleh Lembaga Perumahan dan Hartanah Pahang (LPHP).
“Projek yang diluluskan pada 11 Oktober 2022 ini merupakan inisiatif KPKT dan dipantau oleh Jabatan Perumahan Negara (JPN) manakala Kerajaan Negeri bertanggungjawab dalam proses pengisian kediaman dan diserahkan kepada LPHP untuk diuruskan selanjutnya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan yang dikemukakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemayan, YB Tuan Khaizulnizam Mohamad Zuldin dalam Mesyuarat ke-3 Penggal ke-4 Dewan Negeri Pahang ke-15 bertempat di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.
Tambahnya, di daerah Bera, secara keseluruhannya sebanyak 1,643 unit rumah dirancang dibangunkan, termasuklah 500 unit khusus di bawah skim PRR.
“Selaras dengan penyelarasan pembangunan terkini, komponen PRR Bera telah dipinda daripada 1,000 unit kepada 500 unit rumah teres setingkat yang dilengkapi kemudahan asas seperti surau dan balai raya,” ujarnya.
Dalam pada itu beliau memaklumkan, sehinnga kini sebanyak 4,168 unit PRR telah berjaya disiapkan diseluruh negeri Pahang yang melibatkan nilai pembanguanan sebanyak RM148.8 juta.
“Dan KPKT juga telah menyerahkan beberapa projek termasuk PRR Luit, Maran dan PRR Pulau Manis, Pekan dan banyak lagi projek PRR lain dijangka siap untuk diserahkan dalam tempoh terdekat,” ujarnya. – PAHANGMEDIA

