Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 18 NOVEMBER 2025 : Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah hari ini berkenan berangkat ke Persembahan Taklimat Kesiapsiagaan Monsun Timur Laut (MTL) di Pusat Pentadbiran Sultan Ahmad Shah (PPSAS), KotaSAS.
Keberangkatan Baginda diiringi YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail. Hadir sama, YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Nazri Abu Bakar; YB. Pegawai Kewangan Negeri Pahang, Dato’ Indera Haji Fadzilla Haji Salleh; Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Sabariah Saidan dan ketua-ketua jabatan.
YAB Dato Sri Diraja Haji Wan Rosdy dalam satu kenyataan hari ini berkata, keberangkatan Paduka Baginda mencerminkan keprihatinan tinggi terhadap keselamatan dan kebajikan rakyat Pahang, khususnya yang tinggal di kawasan berisiko banjir menjelang musim MTL yang dijangka bermula November ini sehingga Mac tahun hadapan.
Katanya, dalam taklimat tersebut, Kerajaan Negeri melalui jabatan dan agensi berkaitan memperincikan tahap persiapan semasa meliputi langkah mitigasi risiko, penyelarasan operasi penyelamatan, kesiapsiagaan aset logistik, penyenggaraan infrastruktur kritikal serta penyediaan pusat pemindahan sementara (PPS) yang lebih tersusun dan berfungsi dengan cekap.
Beliau turut mengingatkan rakyat Pahang terutama di kawasan berisiko tinggi agar membuat persediaan awal dan sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa, termasuk berpindah ke PPS apabila diarahkan, demi keselamatan bersama. -PAHANGMEDIA

