Oleh : Aimi Syafiqa Khairi & Aisyah Abdul Manan
Foto : Shahrizar Azdhar
KUANTAN, 18 NOVEMBER 2025 : Kerajaan Negeri Pahang melalui Dasar dan Pelan Tindakan Wanita Pahang (Kluster Pendidikan) terus komited dalam memperkasa pendidikan serta kepimpinan melalui Program MyMalaysia Scavenger Hunt.
Menurut Pengerusi Pembangunan Dasar dan Pelan Tindakan Wanita Pahang, YBhg. Tan Sri Dato’ Sri Dr. Noorul Ainur Mohd Nur, program ini merupakan usaha membina jati diri, meningkatkan kemahiran komunikasi, dan mengasah pemikiran kreatif para pelajar.
“Ia memperkukuh semangat kerjasama, tanggungjawab dan perpaduan, selaras dengan aspirasi Kerajaan Negeri Pahang untuk membentuk masyarakat berilmu, berdisiplin dan berakhlak mulia.
“Melalui pendekatan interaktif ini, pelajar dapat mengasah kemahiran berfikir secara kreatif dan kritikal, memperkukuh keyakinan diri, serta menguasai kemahiran komunikasi dalam Bahasa Inggeris secara semula jadi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Perasmian Program MyMalaysia Scavenger Hunt di Prime Hall, Pahang Skills Development Centre, hari ini.

Tambahnya, program bersama Pahang Skills ini turut membuktikan usaha pendidikan dan pembangunan wanita dapat digerakkan seiring dengan melahirkan generasi berilmu.
“Sinergi sebegini jelas membuktikan bahawa pendidikan dan pembangunan wanita mampu digerakkan seiring, demi melahirkan generasi berilmu, berdaya saing serta menyumbang kepada kemakmuran dan keharmonian negeri,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berharap agar inisiatif ini dapat menjadi sumber inspirasi kepada para pelajar di negeri ini untuk kekal cemerlang dalam semua aspek.
“Semoga inisiatif ini menjadi sumber inspirasi kepada para pelajar untuk terus cemerlang dalam akademik, berdisiplin serta mempunyai semangat patriotisme terhadap negeri dan negara,” kata beliau. -PAHANGMEDIA

