Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 17 NOVEMBER 2025 : Pernah merasakan perasaan kurang percaya diri, namun ia tidak mematahkan semangat penerima Anugerah Khas Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS), Umar Dzakir Ab Razak untuk cemerlang dalam pengajiannya.
Umar Dzakir, 21, graduan Diploma Pengajian Islam Pengkhususan Dakwah dan Pengurusan yang juga Orang Kurang Upaya (OKU) fizikal berkata dia merasakan kelainan yang dimilikinya merupakan antara cabaran untuk menamatkan pengajian ini.
“Cabaran saya adalah dengan perkara yang saya lalui. Seperti mana yang kita tahu, saya seorang yang OKU. Cabaran saya adalah saya merasakan diri saya lain daripada orang lain. Saya merasakan insecure, saya merasakan tak semangat kadang-kadang.
“Tetapi bila mana saya teringat pesanan kepada guru saya Ustaz Jaafar Alkaf, beliau berpesan kepada saya bahawa, seseorang itu dikira gagal bukan bila mana dia tidak berjaya mendapatkan sesuatu, tetapi gagalnya dia, bila mana dia berhenti membuat sesuatu,” katanya yang berasal dari Balok.

Menurut anak sulung dari lima beradik yang kini sedang melanjutkan pelajaran dalam Ijazah Sarjana Muda Dakwah Islamiah di UnIPSAS, kejayaan mendapatkan anugerah dekan setiap semester, termasuk dua kali purata nilai gred 4.0 adalah hasil menjaga hubungan dengan Allah SWT.
“Tips adalah dengan kita niatkan untuk menuntut ilmu kerana Allah SWT, kemudian menjaga diri kita sebagai penuntut ilmu dengan amalan-amalan sebagai seorang penuntut ilmu. Antaranya adalah menjaga solat berjemaah. Paling kurang satu waktu berjemaah di antara lima waktu.
“Dan turut mengamalkan bacaan sunat, bacaan wirid, bacaan doa serta amalan baik yang kita amalkan supaya perkara tersebut menjadi pengikat kita di antara kita dengan Allah supaya ada perkara yang Allah pandang dari kita dalam perkara kebaikan,” katanya.
Sementara itu, menurut penerima Anugerah Sultan Ahmad Shah, Siti Nur Khalidah Rosli, 24, yang merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Pengajian Bahasa Inggeris dengan Kepimpinan Pengajaran, kegagalan untuk memasuki Institut Pendidikan Guru (IPG) sebanyak dua kali sebelum ini membuatkan dia berusaha untuk menggapai impian menjadi seorang pendidik.

“Dulu saya nak sambung pengajian ke IPG (Institut Pendidikan Guru) tapi dua kali saya interview, dua tahun saya gagal. Jadi, saya disini bukanlah sebab saya cemerlang, tapi saya pernah melalui kegagalan sebelum ini.
“Jadi, itu yang membuatkan saya semakin kuat dan berusaha untuk dapatkan juga impian saya menjadi guru Bahasa Inggeris,” katanya yang mendapat purata nilai gred 4.0 sebanyak empat kali dan memperoleh dekan pada empat semester lagi.
Menurut Rektor UnIPSAS, Ybhg. Prof. Madya Dr. Haji Mohd Zawavi Zainal Abidin, seramai 583 pelajar UnIPSAS telah menerima ijazah dan diploma yang disampaikan YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Nazri Abu Bakar, pada majlis konvokesyen kali ini termasuklah enam graduan Doktor Falsafah (PhD).
Antara graduan Doktor Falsafah yang menerima skrol pada Istiadat Konvokesyen Ke-22 UnIPSAS hari ini, Sahibul Fadhilah Timbalan Mufti Negeri Pahang, YH. Dato’ Haji Badli Shah Haji Alauddin; dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tioman, YB. Dato’ Sri Haji Mohd Johari Hussain. -PAHANGMEDIA

