Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 17 NOVEMBER 2025 : Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS) akan menggunakan pendekatan pendidikan dan latihan teknikal vokasional (TVET) Qurani dalam proses pembelajaran.
YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Nazri Abu Bakar berkata, pendekatan ini akan diwujudkan dalam suasana bi’ah Quraniyyah.

“Kerajaan Negeri merakamkan penghargaan kepada seluruh kepimpinan UnIPSAS atas komitmen dalam memacu agenda pendidikan Islam negeri, terutamanya dalam usaha menubuhkan Universiti al-Quran, sebagaimana menjunjung titah Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah.
“InsyaAllah, Universiti Al-Quran bakal menjadi institusi ilmu yang melahirkan profesional Muslim berakidah sahih, berakhlak mulia dan berkemahiran tinggi, selari dengan tuntutan era moden. Universiti ini juga akan menggabungkan elemen pengajian Islam dengan bidang profesional seperti ekonomi, teknologi dan sains sosial.

“Pendekatan TVET Qurani yang dibangunkan pula akan diwujudkan dalam suasana bi’ah Quraniyyah, iaitu kampus yang hidup dengan tilawah, tadabbur dan amalan al-Quran,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Istiadat Konvokesyen Ke-22 Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS) di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah.
Turut hadir, YB. Penasihat Undang-Undang Negeri Pahang, Dato’ Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi; YB. Pegawai Kewangan Negeri Pahang, Dato’ Haji Fadzilla Salleh; dan Rektor UnIPSAS, Ybhg. Prof. Madya Dr. Haji Mohd Zawavi Zainal Abidin.

Tambah beliau, UnIPSAS memainkan peranan besar dalam melahirkan generasi yang dapat membina etika berasaskan Al-Quran dalam dunia masa kini.
“Dalam dunia pasca kecerdasan buatan atau Al, pembinaan etika berasaskan al-Quran menjadi semakin penting, dan UnIPSAS berperanan besar menyediakan generasi yang mampu memimpin perubahan ini,” katanya
Menurut beliau, kejayaan para graduan ini juga merupakan manifestasi komitmen Kerajaan Negeri Pahang dalam membina modal insan unggul melalui ekosistem pendidikan holistik.

“Inilah prinsip yang diletakkan dalam Aspirasi Pahang 1st. Membangunkan insan yang bukan hanya cemerlang mindanya, tetapi juga kukuh akhlak dan jati dirinya. Oleh sebab itu, setiap dasar kerajaan dalam bidang pendidikan digerakkan atas prinsip ilmu yang membawa taqwa.
“Terima kasih kepada inisiatif pendidikan Islam yang menyeluruh, termasuk Tadika Tahfiz, Maahad Tahfiz Negeri dan UnIPSAS. Kita telah berjaya membina satu ekosistem pendidikan yang menyanjung ilmu dan membentuk keinsanan,” katanya. -PAHANGMEDIA

