Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
TEMERLOH, 16 NOVEMBER 2025 : Bakal pengantin yang ingin menyertai Program Anggun Suri pada tahun hadapan diminta mendaftarkan diri dengan segera.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Sabariah Saidan, ini bagi memastikan mereka mendapat tempat bagi program ini.
“Kita berharap sekiranya ada pasangan-pasangan yang nak menyertai (Program Anggun Suri 2026), sila daftar dengan cepat di Majlis Pembangunan Wanita Pahang (MPWP) daerah masing-masing,” katanya ketika ditemui pada Program Anggun Suri 2025 Peringkat Daerah Temerloh hari ini.
Beliau berkata Program Anggun Suri 2025 yang berbaki di enam daerah lagi dijangka dapat diselesaikan pada penghujung tahun ini dengan Rompin merupakan daerah yang terakhir.
“Kita sudah selesai empat (daerah), kita ada enam lagi. InsyaAllah kita akan cuba habiskan dalam tahun ini dan kita berharap akan selesai sebelum Monsun Timur Laut.

“Walaupun monsun dah sampai masanya, kita doa supaya kita dapat menyelesaikan program ini. Kita akan cuba habiskan sebelum habis 2025, dengan yang terakhir pada 20 Disember ini di Rompin,” katanya.
Mengulas mengenai sambutan Program Anggun Suri 2025 di daerah Temerloh, beliau berkata yang penting adalah kehadiran ahli keluarga pasangan pengantin yang diraikan bagi memeriahkan majlis.
“Alhamdulillah hari ini kita meraikan pasangan pengantin diraikan Parlimen Temerloh dalam Program Anggun Suri yang dianjurkan oleh Kerajaan Negeri. Hari ini lapan (pasangan diraikan) memang ada sepuluh tapi ada dua pasangan yang menarik diri pada saat akhir.
“Program ini sama sahaja sebenarnya, yang penting dengan kehadiran keluarga, kehadiran pemimpin setempat itu lebih memeriahkan suasana,” katanya.
Seramai lapan pasangan pengantin diraikan pada Program Anggun Suri 2025 Peringkat Daerah Temerloh di Dewan Tun Razak hari ini. -PAHANGMEDIA

