Oleh: Norhafizan Zulkifli
KUANTAN, 11 NOVEMBER 2025 : Pahang terus mengukir kejayaan cemerlang di pentas kebangsaan apabila dinobatkan sebagai Johan Keseluruhan Malaysia Techlympics 2025 Peringkat Akhir Kebangsaan yang berlangsung di Melaka International Trade Centre (MITC), Melaka pada semalam dan hari ini.
Memetik kenyataan Facebook Jabatan Pendidikan Negeri Pahang (JPNP), acara tahunan anjuran Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Melaka itu menghimpunkan ribuan pelajar, pendidik dan penggiat teknologi dari seluruh negara dalam pelbagai pertandingan serta cabaran sains dan teknologi.

Kontinjen Negeri Pahang yang diwakili 308 orang murid dan guru berjaya menampilkan prestasi luar biasa dengan merangkul empat pingat emas, empat pingat perak dan tiga pingat gangsa, sekaligus menobatkan negeri itu sebagai Johan Keseluruhan Kebangsaan.
Antara sekolah yang menyumbang kejayaan termasuk Sekolah Kebangsaan (SK) Sulaiman, Bentong menerusi kategori Robot Tempur, SK Mempaga 2, Bentong yang cemerlang dalam Cabaran Virtual Redbrick dan Cabaran Metaverse Global (G-MEC), serta SMK Semambu, Kuantan yang menjuarai Cabaran SkyTech Global (G-Sky).

Sementara itu, pingat perak diraih melalui penyertaan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sulaiman, SK Mempaga 2, SK Tuanku Fatimah, Bentong dan Kolej Vokasional Kuantan, manakala pingat gangsa dimenangi oleh SK Air Putih, SK Seri Melati dan SK Sungai Marong, masing-masing dalam cabaran berbeza.
JPNP dalam kenyataannya menzahirkan penghargaan dan ucapan tahniah kepada seluruh kontinjen negeri atas komitmen, usaha gigih serta semangat juang yang tinggi sepanjang pertandingan berlangsung.

Kejayaan membanggakan itu sekali gus membuktikan kemampuan dan potensi pelajar serta tenaga pendidik Pahang dalam bidang sains, teknologi dan inovasi, sekaligus mengharumkan nama negeri di pentas kebangsaan.
Malaysia Techlympics merupakan inisiatif utama MOSTI dalam membudayakan sains, teknologi dan inovasi (STI) selaras dengan Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) 2021–2030, bagi melahirkan bakat teknologi berdaya saing.

Penganjuran Malaysia Techlympics bertujuan memastikan generasi muda bersedia menghadapi masa depan yang dipacu teknologi, termasuk dalam bidang kecerdasan buatan (AI).
Penganjuran edisi tahun ini mencatat sejarah apabila menerima lebih 1.8 juta penyertaan, termasuk peserta antarabangsa dari Indonesia, Thailand, Kemboja, China dan Mongolia, menjadikannya jumlah penyertaan tertinggi sejak program itu diperkenalkan.
Malaysia Techlympics 2025 turut mencipta dua rekod Malaysia Book of Records (MBOR) bagi Penyertaan Terbesar dalam Pertandingan STEM Belia dan Bilangan Dron Terbanyak Diterbangkan Serentak di Dalam Bangunan. -PAHANGMEDIA

