Oleh: Norhafizan Zulkifli & Aisyah Abdul Manan
KUANTAN, 11 NOVEMBER 2025 : Kerjasama strategik antara Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) dan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) bakal memperkukuh pembangunan bakat di Pantai Timur bagi memastikan tenaga kerja tempatan bersedia merebut peluang pekerjaan berimpak tinggi hasil pelaburan baharu di wilayah ini.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Pahang, YB Dr. Sim Chon Siang, berkata inisiatif itu membuka lembaran baharu dalam memperkasa modal insan di Pantai Timur agar seiring dengan arus pertumbuhan ekonomi negara.

“Dengan perkembangan ekonomi wilayah Pantai Timur yang bersedia untuk fasa pertumbuhan baharu, TalentCorp, sebuah agensi dan badan pemikir strategik di bawah Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), kini menjalinkan kerjasama dengan ECERDC bagi memperkukuh kumpulan bakat wilayah Pantai Timur dan memastikan tenaga kerja tempatan bersedia untuk merebut peluang dalam pekerjaan berimpak tinggi hasil daripada pelaburan baharu,” katanya katanya ketika hadir pada sesi libat urus Industry Connect @ East Coast 2025 di Hotel Zenith, di sini, hari ini.
Majlis turut dihadiri Timbalan Ketua Setiausaha KESUMA, Encik Sutekno Ahmad Belon dan Pegawai Eksekutif Kumpulan TalentCorp, Encik Edward Ling.
Tambahnya, kerjasama antara TalentCorp dan ECERDC itu sejajar dengan aspirasi Pelan Induk ECER 2.0 yang dilancarkan pada Jun 2025, yang menyasarkan pewujudan 120,000 peluang pekerjaan baharu serta peningkatan kualiti hidup komuniti di seluruh Pantai Timur melalui pekerjaan dan keusahawanan berkualiti tinggi.

“Dengan kemahiran, latihan dan hala tuju yang betul, golongan belia tidak perlu lagi meninggalkan kampung halaman untuk mencari peluang. Mereka boleh berjaya di sini.
“Kerjasama ini merapatkan jurang antara inisiatif kerajaan persekutuan dan rakyat tempatan, memastikan pertumbuhan ekonomi diterjemah kepada kehidupan yang lebih baik untuk rakyat,” ujarnya.
Majlis berkenaan turut menyaksikan pertukaran Memorandum Kolaborasi (MoC) antara Talent Corp dan ECERDC bertujuan meningkatkan peluang pekerjaan dan tenaga kerja tempatan serta mengurangkan kebergantungan kepada bakat luar.
“Selaras dengan matlamat tersebut, kedua-dua organisasi akan melaksanakan beberapa inisiatif pembangunan bakat serantau, termasuk pemetaan keperluan kemahiran tempatan dalam sektor utama ECER seperti tenaga bersih, logistik, pembuatan dan pelancongan
“Melalui kerjasama ini kami ingin memastikan bakat tempatan bersedia untuk mengambil bahagian dalam bidang pertumbuhan baharu ini menjadikan pelaburan serantau sebagai peluang untuk rakyat di rantau ini,” katanya lagi. -PAHANGMEDIA

