Oleh : Ain Nadhirah Basha & Aisyah Abdul Manan
Foto : Ezzatul Shafiqa Asmawai
KUANTAN, 11 NOVEMBER 2025 : “Saya memang sangat-sangat berterima kasih dengan Kerajaan Negeri sebab banyak membantu kami dan datang kat sini, jenguk kami,” kongsi Puan Farra Hanis Mohd Khairuddin.
Puan Farra Hanis, 30, yang merupakan salah seorang mangsa ribut pada Jumaat lepas turut melahirkan penghargaan di atas keperihatinan Kerajaan Negeri Pahang kepada mangsa-mangsa yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Komuniti Tanah Putih Baharu.
“Terima kasih kepada Kerajaan Negeri sebab membantu kami dekat sini yang terkena bencana alam yang sangat terkesan bagi kami sebab kami memang kehilangan tempat tinggal.

“Alhamdulillah, bantuan yang saya dapat sekarang macam tempat tinggal untuk buat sementara ni, bantuan-bantuan macam makanan dari JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat), daripada Kerajaan Negeri, dan exco ada bagi bantuan kewangan dan serta datang tengok anak-anak saya, anak-anak yang keluarga lain yang terkesan,” katanya yang mempunyai dua orang anak termasuk seorang anak istimewa.
Menurut Puan Farra Hanis, bantuan baik pulih kediaman oleh pihak Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) disambut penuh kelegaan memandangkan ia melibatkan kos yang tinggi.
“…lepas pada meeting semalam, saya dimaklumkan pihak MUIP akan menyediakan, kontraktor untuk pembaikan rumah kami semua tanpa kami perlu keluar satu sen, dia akan pulih baik semualah, keseluruhan atap rumah.
“Alhamdulillah, kami lega sebab kami pun tak berduit. Saya sendiri pun tak tahu nak cakap sebab barang elektrik saya semua rosak. Keseluruhan atap (rumah) saya memang semuanya hancur.
“Terima kasih untuk Kerajaan Negeri dan juga pihak MUIP atas bantuan macam ni yang kurang-kurang melegakan kami,” katanya yang melakukan jualan kek kecil-kecilan.
Sementara itu, seorang lagi mangsa, Cik Nur Izzatul Farhana Che Sidek, 32, turut melahirkan rasa lega di atas bantuan yang diberikan oleh Kerajaan Negeri Pahang setakat ini dan proses baik pulih yang telah dirancang.

“Rasa lega jugalah sebab macam Ketua Kampung cakap siapa berkemampuan boleh je repair dulu (rumah), tapi macam terlalu banyak, tak mampu.
“Pagi tadi ketua kampung dah panggil orang adjuster rumah untuk tengok apa yang rosak, berapa keping atap yang perlu diperbaki.
“Selama kami duduk dekat sini, bantuan makan semua daripada JKM semua cukup, tempat tinggal pun okey, tak crowded, dalam beberapa buah keluarga je yang ada. So, agak selesa jugalah. Tandas pun belakang ni je. Setakat ni okey lah,” katanya yang turut mengalami kerosakan kediaman teruk.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Sabariah Saidan meluangkan masa melawat sembilan keluarga dilanda ribut di kawasan berkenaan yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Komuniti Tanah Putih Baharu.
Kejadian ribut pada Jumaat yang melanda daerah ini telah menyebabkan lebih 60 rumah rosak dan 13 kejadian pokok tumbang dilaporkan berlaku membabitkan Taman Tanah Putih, Bukit Setongkol dan Taman Cenderawasih. -PAHANGMEDIA

