Oleh : Ain Nadhirah Basha & Aisyah Abdul Manan
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 10 NOVEMBER 2025 : Beberapa buah rumah yang rosak akibat ribut pada Jumaat lepas akan diberikan bantuan baik pulih sepenuhnya oleh Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP).
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Sabariah Saidan, proses baik pulih ini melibatkan kediaman yang mengalami kerosakan teruk.

“Saya difahamkan bahawa ada beberapa rumah yang ditanggung sepenuhnya (kos baik pulih) oleh MUIP.
“Itu yang dikira tidak boleh guna langsung (kediaman setelah dilanda ribut), yang betul-betul teruk dan kita tengok kepada mangsa itu berada dalam kategori bagaimana sama ada B40,” katanya.
Beliau berkata Kerajaan Negeri Pahang akan memberikan bantuan sebaik mungkin kepada mangsa terlibat dan mengingatkan pemimpin setempat untuk cakna dengan keadaan kawasan serta penduduk.

“Ini tugas pemimpin setempat yang merupakan barisan hadapan. JKK, KRT, dan juga ahli majlis perlu turun dan bertanggungjawab dan insyaAllah penyelaras dan pihak JKM sendiri akan memberikan bantuan terbaik untuk mangsa-mangsa ini.
“Kita (Kerajaan Negeri Pahang) memang menyediakan bantuan bencana di mana YAB Menteri Besar Pahang memperuntukkan RM10 juta bagi bencana seperti ini.
“Dan bencana alam ini kita tak duga, tapi sekiranya berlaku, kita di pihak Kerajaan Negeri akan bantu sebaik mungkin,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Dewan Komuniti Tanah Putih Baharu yang merupakan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) bagi sembilan keluarga dilanda ribut di kawasan berkenaan.
Kejadian ribut pada Jumaat yang melanda daerah ini telah menyebabkan lebih 60 rumah rosak dan 13 kejadian pokok tumbang dilaporkan berlaku membabitkan Taman Tanah Putih, Bukit Setongkol dan Taman Cenderawasih. -PAHANGMEDIA

