Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 13 OKTOBER 2025 : Perkhidmatan bas di bawah Program Transformasi Perkhidmatan Bas Berhenti-henti (SBST) di daerah ini akan dikendalikan oleh syarikat pengendali baharu pada 15 Disember hadapan.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Ir. Razali Kassim, bas di bawah pengendali Sanwa Tours (M) Sdn. Bhd. ini juga akan dikenali sebagai BAS.MY dengan warna merah jambu.
“Ini merupakan satu inisiatif bagi membaik pulih perkhidmatan bas bagi kemampanan dan kebolehharap, reliability dan meningkatkan penggunaan pengangkutan.
“Bas RapidBus akan berakhir pada 14 Disember dan mulai 15 Desember akan diambil alih oleh operator baru yang akan digantikan oleh Sanwa Tour Malaysia Sdn. Bhd. yang telah berjaya untuk mendapat tender ini dengan kontrak selama 5 tahun bermula pada 15 Disember 2025 hingga 14 Disember 2030,” katanya.
Tambah beliau, perkhidmatan baharu ini juga akan menggunakan bas baharu mesra alam yang memiliki beberapa ciri unik baharu yang memberi manfaat dan memudahkan pengguna terutamanya melibatkan golongan sasaran.
“Pertamanya dia ada pass perjalanan tanpa had yang bernilai RM50 bagi perjalanan 30 hari, khas untuk warga negara Malaysia. Yang kedua dia ada kad konsesi dan tambang percuma. Ini untuk empat kategori iaitu warga emas berusia 60 tahun, orang kurang upaya, pelajar sekolah antara umur tujuh tahun hingga 17 tahun, dan juga siswa yang dalam tempoh pengajian. Empat kategori boleh dapat kad konsesi tambang percuma. Cuma hanya dia perlu bayar sekali sahaja untuk pendaftaran untuk dapatkan kad ini sebanyak RM10.
“Selain daripada itu, ada aplikasi journal planner iaitu untuk kita mengukur masa. Kita tahu keadaan live. Kita dapat tengok dalam apps bas itu akan sampai waktu bila, masa dia, macam Grab lah. Selain daripada itu, bas ini mencirikan mesra orang kurang upaya dan juga mesra alam dengan enjin euro.
“Ada 16 laluan yang melibatkan daerah Kuantan dan Pekan ni 16. Setakat ini akan kekalkan laluan yang sama dan kekerapannya 20 minit laluan untuk feeder, maknanya dalam bandar, 30 hingga 60 minit untuk laluan utama, dan 90 hingga 120 minit untuk laluan sederhana maksudnya laluan yang jauh,” katanya.
Menurut beliau perkhidmatan BAS.MY ini telah digunakan di lapan bandar utama di negara ini sebelum ini dan Pahang merupakan negeri kesembilan menerima manfaatnya. -PAHANGMEDIA

