Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
ROMPIN, 08 OKTOBER 2025 : Pendedahan meyeluruh dalam Program Keusahawanan dan Kemahiran JORAN 2.0 Pahang dapat membantu usahawan Negeri Pahang mengukuhkan perniagaan mereka.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Ir. Razali Kassim, ini memandangkan para peserta terlibat mempunyai pelbagai kemahiran dan latar belakang.
“Dengan program seperti ini ia dapat mengukuhkan kemahiran mereka, ilmu perniagaan dari segi pengurusan kewangan, macam mana nak uruskan dari segi accounting dan sebagainya.
“Selain itu ia dapat membantu network mereka, pemasaran mereka. Kerana apabila mereka bercampur daripada pelbagai daerah ini, dia ada rangkaian dia. Jadi di situ dia boleh saling berhubung selepas ini,” katanya.

Tambah beliau, melalui program ini juga para peserta turut menerima bantuan dari segi peralatan bernilai RM10,000 seorang yang membolehkan mereka menjalankan perniagaan selepas tamat program ini.
“Saya lihat ini perkara yang baik kerana syarikat bukan sahaja meningkatkan keuntungan malah memberi manfaat dan berkongsi rezeki dengan komuniti setempat melalui program-program keusahawanan ini,” katanya.
Beliau berkata program anjuran Yayasan Kosma dan dilaksanakan oleh Mahabbah Malaysia ini juga selari dengan Aspirasi Pahang 1st oleh Kerajaan Negeri Pahang bagi melahirkan masyarakat berilmu, berdaya tahan, dan berdaya saing.

“Kerajaan Negeri Pahang amat komited dalam memperluas peluang keusahawanan dan latihan kemahiran. Program seperti ini amat signifikan dalam memperkukuh agenda pembangunan insan di Negeri Pahang, khususnya dalam memperkasakan golongan B40, agar mereka mampu berdikari dan menjana pendapatan melalui kemahiran serta keusahawanan.
“Melalui pelbagai inisiatif termasuk latihan teknikal, pembiayaan mikro, serta sokongan pembangunan industri kecil dan sederhana (IKS), Kerajaan Negeri berharap agar rakyat Pahang, terutamanya di luar bandar, dapat menikmati peluang ekonomi yang lebih inklusif dan mampan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Penutup Program Keusahawanan dan Kemahiran JORAN 2.0 Pahang 2025 di Kompleks Perladangan KOSMA di sini. -PAHANGMEDIA

