Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Farizul Hafiz Awang
JERANTUT, 7 OKTOBER 2025 : Gunung Tahan yang merupakan gunung tertinggi di Semenanjung Malaysia mempunyai potensi besar untuk dimajukan sebagai destinasi pendakian bertaraf dunia.
Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB Tuan Fadzli Mohamad Kamal berkata, keindahan semula jadi Gunung Tahan termasuk flora, fauna, sungai dan bentuk muka buminya menjadikan kawasan itu setaraf dengan destinasi pendakian popular di peringkat antarabangsa.

“Ramai yang tak tahu di luar sana sebab tak banyak promosi tentang Gunung Tahan tapi sebenarnya potensi ini cukup besar dan Gunung Tahan boleh jadi destinasi pendakian yang terkemuka di dunia,” katanya ketika ditemui selepas berjaya menamatkan Ekspedisi Kajian Kelestarian Trek Gunung Tahan dari Merapoh ke Kuala Tahan bertempat di Jeti Taman Negara Kuala Tahan hari ini.
Menurutnya, ekspedisi yang berlangsung selama tujuh hari itu merupakan titah Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang agar Majlis Rekreasi Pahang selaku penganjur menjalankan kajian serta mengemukakan cadangan kepada Kerajaan Negeri bagi menambah baik fasiliti di sepanjang trek pendakian.
Katanya, ekspedisi berkenaan disertai lebih 20 agensi kerajaan antaranya Tourism Pahang, Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Perhutanan, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP), Jabatan Belia dan Sukan (JBS), Jabatan Agama Islam Negeri Pahang (JAIP), Majlis Belia Negeri (MBN), Majlis Sukan Pahang (MSP) dan beberapa pejabat daerah.

“Kita akan perincikan sebab kita akan kumpulkan daripada setiap peserta cadangan-cadangan ini tapi melalui sembang-sembang kita sepanjang ekspedisi ini, antaranya tapak perkhemahan yang kemudahan yang lebih baik dengan tandas, bilik air, mungkin bekalan air, lampu dan sebagainya.
“Aspek kesiapsiagaan keselamatan tapak-tapak di area kita itu, selain daripada tapak perkhemahan, infra telekomunikasi juga, mungkin kita nak mencadangkan ‘repeater’ dipasang di kawasan tertentu. Yang itu saya akan berurusan terus dengan SKMM (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia),” katanya lagi.
Tambahnya lagi, semua cadangan itu akan diperincikan dan disusun dalam laporan penuh sebelum dikemukakan kepada Kerajaan Negeri Pahang serta dipersembahkan kepada Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah.

YB Tuan Fadzli turut menzahirkan rasa bangga terhadap semangat semua peserta ekspedisi yang terdiri daripada wakil pelbagai jabatan dan agensi kerajaan negeri ini.
“Saya bangga sebenarnya sebab peserta-peserta ni sebenarnya ramai yang cedera. Ada seorang peserta wanita itu empat kuku jari kaki dah nak tercabut sangat dah tapi berjaya meneruskan pendakian. Jadi, memang masing-masing penat.
“Saya rasa ekspedisi yang sangat berjayalah. Saya tak sabar nak kongsi dengan Kerajaan Negeri kita ini,” ujarnya.
Dalam pada itu, ekspedisi berkenaan membabitkan 54 peserta itu menempuh perjalanan sejauh 85 kilometer dengan tempoh pendakian antara enam hingga tujuh hari, bergantung kepada kumpulan masing-masing. -PAHANGMEDIA

