Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
ROMPIN, 07 OKTOBER 2025 : Program Transformasi Digital dan Kepimpinan Pelajar Orang Asli Negeri Pahang merupakan manifestasi komitmen berterusan Kerajaan Negeri dalam memperkasa generasi muda Orang Asli di negeri ini.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Pahang Orang Asli Corporation (ORACO), YH. Dato’ Muhammad Olian Abdullah, program ini juga menjadi bukti kesungguhan Kerajaan Negeri dalam memastikan masyarakat Orang Asli terus diberi perhatian dan tidak terpinggir.
“Program ini bertujuan nak transformkan berkenaan pengetahuan digital khusus di kalangan anak-anak muda Orang Asli, pelajar-pelajar Orang Asli di Negeri Pahang kerana masa depan negara.

“Hari ini orang bercakap tentang Internet of Things (IoT), Artificial Intelligence (AI), jadi Orang Asli tidak boleh ketinggalan jauh diri mereka dengan pengetahuan berkenaan untuk maju.
“Sebab itu dibawah kepimpinan YAB Menteri Besar Pahang kita, khusus melalui Kerajaan Negeri Pahang, membantu anak-anak Orang Asli yang melanjutkan pelajaran ke IPTA (Institut Pengajian Tinggi Awam), IPTS (Institut Pengajian Tinggi Swasta), Tingkatan Enam, kursus-kursus jangka pendek yang bersesuaian, kita bekalkan dengan laptop nak dedahkan mereka,” katanya.
Tambah beliau, hasrat Kerajaan Negeri Pahang terhadap pemerkasaan bidang digital dalam masyarakat Orang Asli telah mula dapat dilihat dengan kejayaan yang diraih oleh pelajar Orang Asli selain melalui pelaksanaan sekolah digital.

“Di sekolah, sekarang ini kita sedang wujudkan bersama dengan Jabatan Pendidikan Negeri Pahang (JPNP) iaitu digital school di SK Lanai. Dan untuk second phase kita akan bangunkan di SK Bukit Rok.
“Di SK Lanai kita dah supply semua dah dengan smart board, dan sekarang kita dalam pelaksanaan wujudkan digital classroom untuk dedahkan anak-anak Orang Asli daripada peringkat sekolah rendah dengan pengetahuan itu.
“Baru-baru ini juga anak-anak Orang Asli daripada SK Permatang Kledang berjaya menjadi johan peringkat dunia dalam pertandingan robotik di Busan, Korea Selatan. Dan tahun ini mereka juga akan mewakili negara ke Indonesia dan pembiayaannya pun kita biayai,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Transformasi Digital dan Kepimpinan Pelajar Orang Asli Negeri Pahang di Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) hari ini.
Turut hadir, Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Negeri Pahang, Encik Adam Zaidi Mahidin; dan Pegawai Pendidikan Daerah Rompin, YBhg. Tuan Haji Mohd Yazid Kamarudin. -PAHANGMEDIA

