Oleh: Fairus Mohd
Foto: Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 4 SEPTEMBER 2020: Satu unit lot rumah berkembar dua setengah tingkat atau dikenali sebagai ‘Villa 10’ di Bukit Pelindung akan menjadi Pusat Krisis Wanita (Women Crisis Centre).
Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, penyerahan rumah milik asal Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) ini merupakan satu pengiktirafan Kerajaan Negeri kepada golongan wanita di negeri ini.
“Saya difahamkan ‘Villa 10’ ini akan dijadikan ‘Women Crisis Centre’ iaitu pusat tumpuan untuk membantu dan memperkasakan wanita di Negeri Pahang.

“Saya berharap pemberian ini menjadi pemangkin agar MPWP terus bergiat aktif dalam pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat sekaligus memastikan fungsi ‘Villa 10’ ini tercapai,” katanya pada majlis penyerahan kunci rumah kepada Majlis Pembangunan Wanita Pahang (MPWP) sempena Sambutan Hari Wanita Negeri Pahang di Hotel AC Marriot, di sini.
Kunci berkenaan diterima Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Hajah Shahaniza Shamsuddin.
Turut sama, isteri Menteri Besar Pahang, Datin Seri Burhah Mohamed, YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato ‘ Sri Dr Salehuddin Ishak serta barisan Exco Kerajaan Negeri Pahang.

Dalam pada itu, Dato’ Sri Wan Rosdy juga maklum berkenaan masalah-masalah tersendiri yang dihadapi wanita yang memerlukan campur tangan atau ‘intervention’ Kerajaan Negeri untuk mengatasinya.
“Misalnya, sehingga kini saya difahamkan terdapat kira-kira 22,000 orang ibu tunggal berdaftar di seluruh 11 buah daerah di negeri ini yang memerlukan bantuan Kerajaan Negeri.
” Oleh itulah pada pandangan saya, ‘Villa 10’ yang dijadikan ‘Woman Crisis Centre’ ini boleh turut memainkan peranan untuk berbincang dan menangani seterusnya mengatasi masalah ibu tunggal-ibu tunggal ini,” katanya.
Beliau menambah, antaranya ialah dengan menganjurkan pelbagai kursus dan latihan kemahiran berkaitan keusahawanan oleh pusat ini. – PAHANGMEDIA